Fazura ‘tabik’ Kamal Adli, masih belikan baju raya untuk Uqasha Senrose dan anak

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon dan usahawan, Nur Fazura memuji sikap rakan artis iaitu Kamal Adli yang tidak lupa menyediakan baju raya untuk bekas isterinya yang juga merupakan aktres, Uqasha Senrose.

Berdasarkan rakaman dimuat naik di platform Threads, Fazura ketika itu sedang berada dalam premis jenama tekstil terkemuka iaitu Jakel sebelum dimaklumkan bahawa Kamal turut membuat pembelian di situ.

Rupa-rupanya, pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli itu secara diam-diam sudah membelikan beberapa busana hasil berkolaborasi Fazura dengan Jakel buat Uqasha dan anak mereka, Hawra Uqaira.

Khabar tersebut sekali gus membuatkan Fazura merasa tumpang gembira sebelum meluahkan rasa kagumnya serta memberikan ‘tabik hormat’ atas sikap budiman yang dimiliki oleh Kamal.

“Kamal Adli belikan baju untuk Uqasha dan anaknya sebagai kejutan. ‘Gentleman’ (budiman) sangat. Kamal, Kak Faz ‘respect’ (rasa hormat) dengan awak,” kata Fazura dalam rakaman tersebut.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads turut memuji dan merasa terharu dengan sikap Kamal yang tidak mengabaikan anak dan bekas isterinya meskipun jodoh mereka tidak berpanjangan.

Beberapa pengguna pula berpandangan bahawa Kamal mungkin bertindak sedemikian kerana tempoh idah Uqasha belum berakhir sekali gus menjadikan pelakon wanita terbabit masih berada di bawah tanggungjawabnya.

Sekadar info, Kamal Adli dan Uqasha menikah pada 4 November 2021 dalam satu majlis tertutup sebelum sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.

Hasil perkongsian hidup bersama selama empat tahun, pasangan berkenaan dikurniakan dengan kehadiran seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia satu tahun lebih.

Baca juga: Beratur dekat bank dari jam 9 pagi, pukul 1 tengah hari baru dapat tukar duit raya