Fokus perangi Covid-19, bina kerjasama politik, cadang DAP

Oleh BORHAN AHMAD

DAP berharap, mulai dari sekarang sehinggalah PRU-15, semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu mencari satu titik persefahaman untuk mengembalikan fokus sepenuhnya terhadap usaha memerangi wabak Covid-19 dan merendahkan suhu politik.

“Semua pihak perlu berlapang dada dan mengambil iktibar daripada nasihat Seri Paduka Baginda supaya menghulurkan tangan untuk bekerjasama supaya yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua,” kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Bagi beliau, semua pihak perlu menghormati keputusan Yang Dipertuan Agong melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri kerana ia berlandaskan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

“Walaupun Datuk Seri Ismail Sabri bukan pilihan saya dan rakan-rakan saya sebagai Perdana Menteri, namun kami perlu patuh kepada keputusan tersebut untuk memastikan kelangsungan sistem Demokrasi Berparlimen kita yang berteraskan kepada prinsip Raja Berperlembagaan,” kata beliau.

Beliau mengaku banyak persoalan yang ditanya ekoran kekecewaan penyokong DAP dan Pakatan Harapan.

“Sudah tentu ramai penyokong kami yang kecewa dan bertanya mengapa parti Umno yang dikalahkan pada PRU14 kini kembali berkuasa? Mengapa pembangkang tidak ada strategi lain? Mengapa bukan calon lain? Mengapa tawaran Tan Sri Muhyiddin untuk berdamai ditolak? Dan banyak lagi persoalan. Semua ini adalah polemik yang tidak ada kesudahannya kerana masing-masing ada pandangan sendiri,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau, semua 105 Ahli Parlimen dalam blok pembangkang bersatu dalam keputusan kita dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal dari blok pembangkang.

“Yang menyebabkan Pakatan Harapan tidak dapat mengambil balik semula tampuk kerajaan dan menaikkan semula Umnobukanlah sesiapa dalam blok pembangkang pada hari ini tetapi 18 Ahli Parlimen yang menang di atas tiket PH pada PRU-14 iaitu 12 dari KEADILAN dan 6 dari Bersatu.

“Mereka menjatuhkan kerajaan PH pada Februari 2020 dan menaikkan Umno pada hari ini! Pada hemat saya, biarlah rakyat menjadi penentu dan hakim pada PRU-15 nanti,” katanya.