Gara-gara enggan beli jagung, penduduk dakwa kereta ditoreh penjaja kanak-kanak

Oleh MALAYSIADATELINE

Gara-gara enggan membeli jagung, seorang penduduk di sebuah kawasan perumahan terletak di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah mendakwa kereta miliknya dicalarkan oleh penjaja kanak-kanak.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform TikTok, penduduk terbabit berkongsikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya memaparkan kejadian yang berlaku pada 23 Januari lalu itu.

Dalam rakaman kejadian sekitar pukul 8.03 malam itu, kelihatan seorang kanak-kanak yang membawa basikal mendatangi rumah penduduk dengan membawa bungkusan dipercayai berisi jagung.

Selepas penduduk dipercayai menolak untuk membeli jagung, kanak-kanak terbabit kelihatan berundur sambil merapatkan basikal miliknya ke kenderaan milik penghuni rumah sehingga meninggalkan calar panjang.

“Penduduk Sungai Petani, sila berhati-hati. Kalau jumpa (pelaku), tolong pegang sekejap. Sudah ramai yang terkena, cuma belum ada yang bersuara. Saya tak tahu dia datang dari mana atau siapa yang hantar.

“Tetapi cari rezeki macam ini tak bagus, merosakkan harta benda orang lain,” kata pemilik kenderaan dalam ruangan kapsyen video berdurasi satu minit 10 saat yang dikongsikan di platform TikTok itu.

@erriesaputrie_

Penduduk Sungai Petani sila berhati hati 😌 jumpa pegang sat . Ramai dah yang terkena cuma belum ada yang bersuara . Saya taktahu dia mai dari mana sapa yang hantar . Tapi cari rezeki macam ni takbagus , rosakkan harta benda orang lain. #sungaipetanikedah #penduduksungaipetani #fyp

♬ kabhi khushi Kabhie Gham – Malaysia Trends

Berdasarkan rakaman CCTV dikongsikan oleh penduduk terbabit, kelihatan kesan calar yang didakwa ditinggalkan kanak-kanak berkenaan sangat panjang daripada cermin sisi hadapan kereta sehingga ke tempat mengisi minyak.

Pemilik kereta itu juga mengakui bahawa cat kenderaan miliknya sememangnya berada dalam tahap perlu dibaiki namun tidak bermakna kanak-kanak berkenaan berhak mencalarkan harta bendanya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati ramai penduduk sekitar Sungai Petani mengakui melihat kanak-kanak terbabit menjual jagung malah ada seorang individu memberitahu bahawa keretanya turut dicalarkan.

Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan oleh penduduk Sungai Petani dalam perkongsian tersebut.

Baca juga: Gaji RM1,700 boleh bersara dengan simpanan KWSP RM1 juta