Ada sebab mengapa tidak boleh terlalu emosi apabila bergaduh antara pasangan hingga menjatuhkan talak hanya kerana isteri yang mengandung menolak ajakan untuk bersama.
Menerusi perkongsian di Threads, Peguam Syarie, Aiman berkongsi mengenai kes seorang suami yang menceraikan isteri hanya kerana menolak permintaan suami.
Mahkamah Syariah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh seorang suami terhadap isterinya sebagai jatuh satu talak, selepas mendapati lafaz tersebut dibuat dengan niat yang jelas ketika pertengkaran rumah tangga.
Dalam prosiding pengesahan lafaz cerai itu, plaintif selaku isteri memohon mahkamah mengesahkan lafaz yang didakwa berlaku pada malam sebelum permohonan difailkan.
Defendan juga mengakui telah melafazkan cerai terhadap isterinya susulan pertikaian yang tercetus apabila isterinya enggan bersama atas faktor keletihan dan kesukaran fizikal.
“Malam tadi saya lafazkan cerai pada dia sebab dia tak nak bersama saya, dia kata susah nak mandi, penat nak cangkung nak basuh,” ujar defendan.
Bagaimanapun, plaintif tidak bersetuju dengan versi lafaz yang dinyatakan dan memaklumkan bahawa defendan telah mengeluarkan kata-kata lain yang jelas menunjukkan niat menceraikan dirinya.
“Dah perangai kau macam ni aku ceraikan kau malam ni juga, si*l betul kau ni,” ujar plaintif kepada Hakim.
Setelah disoal siasat oleh Hakim, defendan akhirnya mengakui lafaz sebenar yang diucapkan serta mengesahkan niatnya untuk menceraikan isterinya pada malam kejadian.
Hakim dalam tegurannya menekankan keadaan plaintif yang sedang mengandung, sambil menyifatkan alasan keletihan dan emosi isteri sebagai munasabah.
“Kamu tak nampak ke isteri kamu mengandung tu? Gaduh sekali pun dia emosi sebab lahirkan zuriat kamu. Yang kamu emosi kenapa? Tak munasabah ke alasan isteri kamu tu?
“Kamu tak kesian ke iddah dia lama? Kamu tak kesian tengok dia berdiri lama macam tu,” soal Hakim kepada defendan.
Mahkamah turut mengingatkan defendan mengenai tempoh iddah yang perlu dilalui oleh isteri serta tanggungjawab suami terhadap kebajikan isteri hamil.
Selepas meneliti keseluruhan keterangan dan pengakuan plaintif, mahkamah memutuskan lafaz cerai tersebut adalah sah dan jatuh satu talak.
Baca juga: Shuib didenda RM10,000, mengaku bersalah promosi vape dalam program podcast