Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida baru-baru ini berkongsi satu rakaman video yang memaparkan dirinya sedang memakai tudung keluarannya dengan bantuan seorang wanita dipercayai penggaya hijab.
Dalam video berdurasi 33 saat itu, Datuk Seri Vida tampak sedang mencuba memakai dua jenis tudung pelbagai warna dengan gaya cukup berbeza daripada yang pernah dipakainya sebelum ini.
Jauh dari penampilan menyerlah berkilauan yang sudah menjadi ‘trademark’ usahawan berkenaan, pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu tampil sederhana dengan gaya tudung menutupi dada dalam rakaman itu.
Difahamkan, usahawan berusia 54 tahun itu akan terbang ke Brunei bagi menyertai sebuah festival jualan dan ingin cuba tampil dengan gaya baharu tersebut ketika berada di negara berkenaan.
“Teruja nak pergi ke Brunei esok! Tolong pilih, saya patut pakai tudung warna jingga atau ungu? Tudung ini juga saya ada bawa esok ke Brunei. Kalau berminat boleh beli,” katanya dalam hantaran di platform TikTok itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memuji penampilan baharu Datuk Seri Vida yang membuatkan usahawan terbabit tampak lebih muda.
Ramai juga pengguna mengakui gaya baharu dan warna tudung tersebut telah menaikkan seri wajah Datuk Seri Vida malah wajahnya terlihat iras seperti pelakon jelita popular iaitu Anzalna Nasir.
“Jarang-jarang aku komen macam ini. DSV (Datuk Seri Vida) memang cantik apabila pakai tudung macam ini dari yang sarat-sarat seperti sebelum ini. Teruskan macam ini ya. Nampak cantik dan tak berlebihan sebagai wanita muslimah,” kata seorang pengguna.
“Tudung orang itu sekali Datuk pakai, nampak macam Anzalna sedikit. Helokkkkk (elok).” Kongsi pengguna lain memuji gaya tudung baharu usahawan kelahiran negeri Kelantan itu.
Baca juga: Dari pekebun kepada bos besar, ini kisah bagaimana pengasas Mixue boleh kalahkan jenama Starbucks