Jijik tengok sudu dihidangkan kepada pelanggan, berkerak macam lidah lembu! – “Boleh masuk muzium”

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu perkongsian gambar yang memaparkan peralatan hidangan iaitu sudu dipercayai disediakan oleh sebuah restoran untuk kegunaan pelanggan telah mengundang perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, bahagian belakang sudu tersebut bukan sahaja sangat kotor malah terlihat berkerak menandakan peralatan hidangan berkenaan seperti sudah terlalu lama digunakan oleh pihak restoran.

Berdasarkan gambar itu, sudu tersebut disediakan oleh kedai makan berkenaan untuk kegunaan pelanggan mencedok kuah daripada masakan sup yang dihidangkan di dalam mangkuk dipercayai tomyam.

Gambar yang berjaya menimbulkan rasa geli dan mual orang ramai itu dikongsikan menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Facebook oleh pemilik akaun Penang Press.

Allahuakhbar, nazaknyalah sudu. Berkerak dan berkedut macam lidah lembu bahang gout,” tulis pemilik akaun Facebook itu dalam nada berseloroh meluahkan rasa terkejut melihat keadaan peralatan hidangan tersebut.

Walau bagaimanapun, pengendali akaun Facebook itu tidak mendedahkan lokasi sebenar kedai makan yang menggunakan peralatan hidangan ‘uzur’ untuk kegunaan pelanggan mereka.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Facebook meluahkan rasa jijik selepas melihat gambar tersebut dan tertanya-tanya di manakah lokasi restoran berkenaan agar dapat dielakkan.

Ramai juga pengguna berkongsi pendapat sama bahawa sudu berkenaan terlalu lama digunakan malah ada yang berseloroh bahawa peralatan hidangan itu sudah layak dipemerkan di muzium.

Sekadar info, pengusaha premis makanan sebenarnya sangat dititikberatkan untuk menjaga kebersihan alatan hidangan seperti sudu, garpu dan penyepit di mana ia perlu dibersihkan dengan air panas untuk membasmi kuman.

Pemilik restoran tersebut juga seharusnya lebih prihatin dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan membeli peralatan baharu sekiranya ia sudah tidak lagi sesuai atau selamat digunakan oleh pelanggan.

Baca juga: Minyak tumpah atas karpet? Individu kongsi cara senang nak cuci ia, tabur satu bahan ni sahaja!