Graduan politeknik nekad jual cek mek molek depan rumah, berjaya raih RM10,000 sebulan

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang gadis berjaya meraih pendapatan mencecah RM10,000 sebulan dengan hanya menjual cek mek molek di hadapan rumahnya.

Mengagumkan, gadis yang dikenali sebagai Manisha Najihah itu rupa-rupanya baru berusia 24 tahun dan masih tinggal bersama ibu bapanya.

Manisha yang merupakan graduan Politeknik Shah Alam, Selangor itu sebenarnya pernah bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta.

Lebih selesa bekerja sendiri, anak kelahiran Kelantan itu membuat keputusan untuk mengundur diri dan mula menjual kuih cek mek molek secara kecil-kecilan.

Walaupun memegang Diploma Kejuteraan Mekanikal (Pembungkusan), Manisha mengaku tidak pernah menyesal mahupun malu saat berniaga di gerai.

“Kalau ada orang mengata saya tidak ambil peduli. Mulut orang kita tidak boleh tutup. Jadi pekakkan sahaja telinga. 

Lagipun buat apa nak malu berniaga. Saya dapat sara ibu bapa dengan adik lagi selepas jual cek mek molek,” katanya memetik MStar.

Menawarkan juadah tradisi Kelantan dengan harga RM1 untuk lima biji, Manisha menyuntik ciri moden dengan menguli kuih itu dengan bentuk bulat-bulat.

Rupanya lebih enak dimakan, bentuk bulat itu menghasilkan rasa rangup yang kekal lebih lama kepada cek mek moleh buatan Manisha.

@chashaajuhari

Saya hanya seorang TAUKE cekmek😊 Hanya mencari keberkatan dalam rezeki. #tauke #kuih #bisnes #wakafbharu #tumpat

♬ suara asli – am – Ham

Perjuangannya membuahkan hasil, gadis itu berjaya mendapatkan keuntungan mencecah RM10,000 sebulan meskipun baru dua bulan berniaga.

Manisha yang membuka gerai di hadapan rumah itu juga bersyukur tidak perlu mengeluarkan modal tambahan untuk membayar sewa.

Bagaimanapun, gadis yang mempunyai 10 orang adik beradik itu menyimpan harapan agar perniagaannya bertambah lebih maju.

Memetik laporan Mstar, gadis berkenaan berhasrat untuk membuka cawangan francais di setiap daerah di Kelantan suatu hari nanti.

Terdahulu, anak muda itu mula mencuri perhatian rakyat Malaysia selepas membuat hantaran di akaun TikTok mengenai perniagaan cek mek molek miliknya.

Baca juga: Peserta Miss Universe Indonesia buat laporan polis, dakwa disuruh berbogel, marah bila tutup payudara dengan tangan