Suami enggan pakai lampin, isteri mohon fasakh sebab penat cuci tilam kena kencing tiap malam

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara tidak tahan lagi dengan tabiat sang suami yang kerap kencing ketika tidur di tilam hampir setiap malam, seorang wanita nekad membuat permohonan fasakh di Mahkamah Syariah untuk bercerai dengan lelaki terbabit.

Mana tidaknya, lelaki berusia 40-an itu bukan sahaja tidak mencuci tilamnya sendiri malah turut bersikap keras kepala dalam menerima pendapat isterinya yang mencadangkannya untuk memakai lampin pakai buang.

Lelaki itu juga seolah-olah tidak merasa malu apabila anak tiri dan menantunya membantu ibu mereka mengangkat tilam tersebut untuk dijemur kerana merasa kasihan melihat wanita berkenaan bekerja seorang diri.

Wanita terbabit akhirnya nekad bercerai meskipun sudah berbelas tahun mendirikan rumah tangga kerana suaminya langsung tidak berusaha untuk memperbaiki tabiatnya mahupun mendapatkan rawatan di hospital.

Kejadian itu didedahkan sendiri oleh peguam syarie yang mewakili wanita terbabit menerusi satu perkongsian di platform media sosial Threads mengenai kes cerai tidak boleh dilupakannya sepanjang 14 tahun bekerjaya.

“Beberapa tahun lepas, aku pernah mewakili seorang mak cik yang mahu memohon penceraian secara fasakh. Masa kami berjumpa, aku mendapati alasan anak guam untuk bercerai tidak berapa kuatlah. Tanya punya tanya, barulah mak cik ini nak bercerita.

“Rupanya dia nak mohon penceraian sebab tak tahan lagi dengan suaminya yang memiliki tabiat KENCING MALAM. Cuba bayangkan, setiap hari anak guam kena basuh dan jemur tilam hancing akibat air kencing lelaki berusia 40-an yang merokok?

“Perkahwinan ini adalah yang kedua untuk mak cik ini. Jadi anak-anak daripada perkahwinan pertama semuanya sudah besar dan ada menantu juga. Ketika memberikan keterangan di mahkamah, mereka beritahu ada juga bantu angkat tilam hancing itu untuk dijemur,” kongsinya.

Difahamkan, perbicaraan kes wanita berkenaan akhirnya selesai dalam tempoh setahun selepas pihak mahkamah syariah mensabitkan permohonan fasakh berikutan lelaki itu turut didapati culas dalam menunaikan nafkah.

Lelaki berkenaan juga tidak mampu menyediakan tempat tinggal untuk isterinya sedangkan semua tanggungjawab berkaitan nafkah zahir dan batin secara mutlaknya terletak kepada suami.

“Saya berkongsi cerita dari konteks seorang peguam. Nak beritahu yang kes macam ini wujud. Jadi janganlah malu cari jalan penyelesaian. Apabila sudah sampai mahkamah, AIB adalah masalah yang PERLU DISELESAIKAN SECARA SYARAK.” Jelasnya yang memaklumkan anak guamnya hanya ditanggung oleh anak dari perkahwinan terdahulu.

Baca juga: Pengsan akibat keracunan makanan, Hattan akui trauma nak jamah makanan laut!