Hadie bakal berlakon, Ina Naim letak syarat tiada babak sentuhan

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun satu ketika dahulu keluarganya sering menerima kritikan, anak kepada bekas anggota Inteam Allahyarham Suhaimi Saad, Hadie Suhaimi semakin dikenali ramai.

Namanya mula naik selepas menyertai Talk To My Manager (TTMM) bersama ibunya Ina Naim sebagai pengurus, Hadie kini bakal memasuki dunia lakonan.

Menurut Gempak, Hadie dilamar oleh produser terkenal Jaja Ishak untuk berlakon dalam satu pendek, malah dia berbincang dengan ibunya sebelum membuat keputusan.

Bagaimanapun dia sedar kekuatannya adalah lebih kepada nyanyian namun tetap mahu mencuba bidang baharu.

“Saya dan ibu berbincang panjang sebelum saya ceburi bidang ini. Bila ditimbang-timbang, lebih banyak kebaikan yang boleh diperoleh, jadi saya cuba.

“Walaupun hanya berjaya ke peringkat akhir program realiti itu, saya bersyukur kerana ia membuka peluang untuk saya terus ke hadapan mencari rezeki.

“Saya memang suka berlakon, kadang-kadang di rumah pun saya berlakon dengan ibu. Tapi saya tahu nyanyian itu kekuatan saya. Jadi bila ada peluang berlakon, saya terima untuk mencuba,” katanya seperti dipetik Gempak.

Dalam pada itu, Ina memaklumkan ramai yang meminta Hadie berlakon sebelum ini namun dia perlu menilai setiap skrip agar tiada babak sentuhan berlaku.

“Ramai di TikTok yang minta Hadi berlakon, jadi kami fokus dulu ke arah itu. Tapi saya tak terima semua tawaran secara terburu-buru.

“Saya nilai dulu setiap skrip dan produksi, supaya tiada babak bersentuhan atau adegan serta perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Saya akan pastikan setiap projek sesuai dengan usia dan imej Hadi,” ujarnya.

Baca juga: Wanita geram mentua sibuk paksa mohon STR, siap pergi pejabat tanya gaji menantu