Hanya ditawar RM150 sehari, pelakon lama luah rasa kecewa dengan dunia hiburan

Oleh MAISARAH AISYA

Industri di Malaysia ini ada banyak pelapis dan pelakon yang berkaliber namun pengarah drama dilihat tetap memilih orang sama dek kerana mempunyai ramai peminat.

Malah jika dilihat lakonan mereka tidak memberi kesan yang mendalam kepada penonton tapi tetap mendapat bayaran lebih banyak daripada mereka yang berbakat.

Menurut Gempak, pelakon Riezman Khuzaimi turut terkesan apabila pernah menerima tawaran berlakon serendah RM150 sehari daripada produksi tempatan.

Jelasnya yang sudah berlakon hampir 30 tahun, dia tidak menyangka pelakon berpengalaman sepertinya menerima nasib sebegini.

“Setahun ada dua atau satu filem, drama pun begitu juga. Orang selalu tanya kenapa jarang nampak dekat TV, saya cakap terus terang sebab dia orang tak mampu bayar saya.

“Tak mampu bayar bukan kerana mahal, tapi bayaran itu saya rasa seperti satu penghinaan.

“Jadi saya rasa lebih baik saya jual burger boleh dapat dalam RM300 ke RM400 sehari daripada berlakon dapat RM150, itu melampaulah,” katanya seperti dipetik Gempak.

Bayaran rendah punca tolak tawaran

Pada masa sama, Riezman mengakui isu bayaran rendah kepada pelakon veteran antara punca mengapa banyak selebriti menolak tawaran diberikan.

“Memang patut dia (Azlee Senario) tolak. Kalau kita tengok Senario berlakon, menyanyi dan buat lawak..kita sepatutnya kena hormati. Patutnya lagi senior lagi tinggi bukan lagi catu.

“Sama juga macam Jalil Hamid kenapa dia tak nak berlakon, sebab tawaran yang macam itu. Fauziah Nawi pun begitu.

“Saya pun pernah berlakon di Indonesia dan Hong Kong. Bukan sebab status tapi pengalaman.

“Lagi senior pelakon itu mereka sepatutnya bayar sama dengan pengalamannya. Perkara ini makin teruk. Ini nak merosakkan industri kita, kualiti akan jatuh,” tambahnya.

Baca juga: Singgah makan tengah hari di Langkawi naik helikopter, tak sangka ini pemiliknya