Hanya jual telur masin, pasangan ini berjaya raih keuntungan RM6,000 sebulan

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, pasangan suami isteri ini berjaya meraih keuntungan mencecah RM6,000 sebulan dengan hanya menjual telur masin.

Mula diusahakan empat tahun lalu, perniagaan tersebut telah menjadi sumber pendapatan baharu kepada pasangan yang sudah lanjut usia itu.

Sebelum ini, keluarga mereka hanya bergantung hidup pada gaji suami yang bernilai RM3,000 sebulan sebagai pekerja am di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor.

Pernah bekerja secara syif, ayah kepada tiga orang anak yang bernama Nordin Hamid itu membuat keputusan untuk membuka perniagaan bersama isteri.

Keputusannya membuahkan hasil apabila mereka berjaya mendapat pulangan sekali ganda lebih banyak daripada gaji yang diperolehinya dahulu.

Menjual kira-kira 15,000 biji telur masin sebulan, bapa yang berusia 57 tahun itu mempelajari cara membuat dan menjaga telur masin menerusi saluran Youtube.

Perniagaan itu diusahakan Nordin bersama isteri, Noorsham Abdullah yang berusia 59 tahun dan turut dibantu oleh tiga orang anak mereka, lapor Kosmo.

Berdepan dengan pelbagai cabaran, Anak kelahiran Hutan Melintang, Perak itu mendapatkan bekalan telur itik daripada pembekal di sekitar Pantai Remis.

“Cabarannya adalah terdapat telur yang retak dan pecah ketika membeli ribuan biji daripada pembekal.Apabila pecah, telur itik itu tidak boleh diproses.

“(Hal ini) kerana isi­nya jadi terlampau masin setelah menjalani proses rendaman selama dua minggu,” katanya memetik Kosmo.

Walau bagaimanapun, Nordin bersyukur kerana dapat meluangkan masa bersama anak-anak sejak menceburi bidang perniagaan.

Nordin juga akan mengembangkan perniagaan dengan membeli mesin pemprosesan telur dan rendaman bagi menggantikan kaedah tradisional yang dilakukannya saat ini.

“Menerusinya saya mempunyai lebih masa bersama tiga anak berusia 27 hingga 34 tahun yang kadangkala membantu perniagaan,” kata lelaki yang berniaga di Kampung Rantau Panjang, Klang.

Baca juga: Gaji 5 angka tapi dapat hanya RM2k, rupanya isteri berhabis duit dekat gelang baru, lelaki terasa macam kuli