Hanya selamat dimakan dalam tempoh 4 jam, ini tips simpan rendang agar tahan lama

Oleh WAN SITI AMINAH

Hanya selamat dimakan dalam masa empat jam jika disimpan dalam suhu bilik, hidangan seperti rendang perlulah disimpan dengan berhati-hati.

Hal ini kerana, setelah tempoh empat jam itu berlalu, bakteria dalam makanan akan menjadi aktif jika hanya dibiarkan begitu sahaja.

Boleh membahayakan kesihatan, Public Health Malaysia (PHM) tampil memberi amaran dan beberapa tips agar hidangan perayaan itu tahan lama.

Menurut PHM, oleh kerana kelembapan adalah sumber pertumbuhan bakteria, rendang perlulah dimasak sehingga kering.

Rendang yang telah dimasak itu kemudian boleh disimpan di dalam bekas-bekas kecil sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Jika mahu dihidangkan, rendang itu boleh dinyahbeku di dalam ketuhar gelombang mikro atau suhu bilik sebelum dipanaskan.

“Panaskan dalam kuali dengan api perlahan dan pastikan pemanasan sekata. Pemanasan semula perlu dilakukan dalam masa dua jam selepas dikeluarkan.

“Hidang dalam kuantiti sedikit. Jangan hidang dalam bekas besar dan ceduk dari bekas tersebut,” kongsi PHM menerusi akaun Facebook rasminya.

Jika mahu rendang bertahan selama tiga bulan, hidangan tersebut perlulah disimpan di dalam peti sejuk beku.

Baca juga: Anda mempunyai darah tinggi, jangan risau petua ini boleh kurangkan penyakit anda