Harapan bentuk JK bincang dengan Muda dan PSM ekoran permohonan kerjasama

Oleh BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan (Harapan) meneliti permohonan Muda dan PSM untuk menyertainya dan membentuk satu jawatankuasa empat anggota bagi merundingkan mengenainya dengan kedua-dua parti itu.

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bersidang hari ini melantik Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Mohd Hasbi Muda (AMANAH), Steven Sim (DAP) dan Datuk Ewon Benedick (Upko) untuk berunding dengan Muda dan PSM.

“Hasrat Muda dan PSM ini bererti parti-parti yang bersedia berpegang pada prinsip-prinsip dan berada di landasan yang sama dengan Pakatan Harapan dapat dirangkul kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke 15.

“Pada masa yang sama, pertembuangan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke -15 dapat dielakkan,” kata kenyataan bersama empat pemimpin utama parti-parti dalam Harapan.

Mereka adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden Harapan), Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Datuk Seri Paduka Madius Tangau (Presiden Upko).

Muda sebelum ini mengambil keputusan untuk membuat permohonan menyertai Harapan manakala PSM pula bersedia untuk menggunakan logo Harapan dalam pilihan raya umum nanti.

Baca Artikel Penuh