Harris Alif tetap suami Intan Ladyana, jelas isu curang dalam ‘game’ dengan wanita lain

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Harris Alif tampil membuat penjelasan susulan tularnya rakaman memaparkan dirinya mengucapkan kata-kata berunsur romantis kepada wanita lain dalam satu permainan video di atas talian.

Menerusi kenyataan dikongsikan di TikTok Story, Harris menafikan dakwaan bahawa dirinya telah berlaku curang terhadap isteri yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Intan Ladyana.

Harris yang juga merupakan seorang penyanyi itu juga mengakui tidak memiliki hubungan istimewa dengan wanita dalam permainan berkenaan manakala dialog romantis dilontarkan pula hanyalah sekadar lakonan.

Pemilik nama sebenar Nor Harris Alif Nor Rashidi itu juga konon hanya memainkan watak ‘Tommy Hilfiger’ seperti dalam rakaman tular sekadar untuk keperluan penciptaan kandungan di platform media sosial sahaja.

“Untuk jelaskan, itu adalah karakter ‘Roleplay’ (peranan) bernama Tommy Hilfger dalam ‘content’ (kandungan) sahaja, bukan diri sebenar saya. Dalam dunia Roleplay, memang ada jalan cerita dan dialog tertentu mengikut watak.

“Di luar kandungan itu, saya tetap seorang Suami dan Ayah. Saya tahu batas serta tanggungjawap terhadap keluarga. Tentang isu ‘micro-cheating’ (tindakan kecil yang membawa kepada kecurangan) pula. Kalau betul saya curang, tak akan nak buat secara terbuka.

“Siap buat siaran langsung untuk semua orang tengok. Saya lebih tahu jaga diri dan keluarga. Kalau ada yang terasa atau kurang selesa dengan kandungan tersebut, saya minta maaf. Itu bukan niat saya,” katanya dalam hantaran di TikTok Story yang kini sudah dipadam.

Selebriti kini aktif sebagai ‘streamer’ dengan bermain permainan video atas talian sambil bersiaran langsung itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memahami dan masih memberikan sokongan.

Terdahulu, tular rakaman permainan video yang mana watak oleh dimainkan Harris menggunakan panggilan sayang dan melontarkan kata-kata romantis sebagai contohnya ‘sayang cintakan awak’ terhadap wanita lain.

Perbuatan Harris telah menimbulkan perasaan kurang senang orang ramai yang menganggapnya bertindak keterlaluan dan melanggar batasnya sebagai seorang suami selain sudah tentunya salah daripada sisi agama.

Sekadar info, Harris mendirikan rumah tangga dengan Intan, 43, pada 5 Februari 2021 lalu dan hasil daripada perkongsian hidup besama, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Evie Khadeeja, 3, dan Umar yang kini berusia 10 bulan.

Baca juga: Ramai baru tahu inilah satu-satunya lagu raya yang dinyanyikan adik beradik berbangsa India