Bantuan daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan perjuangan yang dibuat oleh petugas dan sukarelawan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati datang mencurah-curah dan amat membanggakan.
Dari sumbangan makan pagi, kerusi roda dan terbaharu adalah sumbangan tangki oksigen dan buggi atau kenderaan elektrik untuk memudahkan petugas CAC ini menjalankan tugas mereka.
Ia berikutan dari ribuan pesakit Covid-19 datang ke CAC itu saban hari hatta pada hari cuti berikutan dari ramainya mereka yang terkena penyakit ini di daerah Petaling, Selangor yang mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi di Malaysia dan penyumbang 40 peratus kes harian Covid-19 di Malaysia.
Sudah tentu pemberi bantuan terbesar adalah kerajaan negeri Selangor. Selain membenarkan Stadium Melawati digunakan, kerajaan negeri dikatakan telah berbelanja lebih RM500,000 sebulan untuk menyediakan kemudahan asas dan penyeliaan ke atas stadium ini sejak ia dijadikan CAC oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bermula 8 Februari 2021 lalu.

“Alhamdulillah, benda yang saya minta dah dapat,” tulis Pengurus Stadium Melawati yang menjadi koordinator antara kerajaan negeri dan KKM di CAC ini, Ahmad Sayuti Bashiron kepada rakan-rakannya menerusi aplikasi Whatsapp sambil meletakkan gambar dua buah buggi.
Beliau mengaku, antara keperluan asas yang amat diperlukan oleh CAC Stadium Melawati adalah tangki oksigen.
Buggi pula sangat diperlukan di CAC Melawati bagi mengangkut pesakit kritikal dan memudahkan pergerakan petugas untuk bergerak sekitar stadium ekoran 4,000 hingga 6,000 pesakit Covid-19 datang ke CAC ini setiap hari.
Tragedi seorang petugas CAC yang berpakaian lengkap PPE jatuh ketika menolak pesakit di atas troli strecher banyak menitiskan air mata orang ramai apabila video mengenainya ditularkan.
Ia membayangkan betapa letihnya petugas barisan depan dalam berhadapan dengan pesakit Covid-19 yang ramai di CAC ini.
Apabila ada yang menyumbang buggi, ia sudah tentu amat melegakan bagi orang seperti Ahmad Sayuti Bashiron yang bertungkus lumus sejak awal pagi bagi membuat persiapan di CAC itu.

Pada 24 Julai, CAC ini menerima puluhan tangki oksigen untuk digunakan oleh pesakit yang mengalami keradangan sebelum mereka dihantar ke hospital. Tangki oksigen ini disumbangkan oleh sebuah syarikat peruncitan.
“Pada minggu sudah, ketika saya mengasing dan menyusunkan pesakit yang sampai sejak awal subuh itu mengikut jenis penilaian dan ketegori pesakit, apabila dipanggil pesakit yang mempunyai simptom sesak nafas, jumlah yang keluar dan beratur untuk masuk segera ke dalam ruang kecemasan adalah melebihi 50 orang.
“Menjadi rutin sebelum operasi dimulakan sekitar jam 9 pagi, pihak CAC akan memberikan bantuan kecemasan terlebih dahulu termasuklah memberikan bantuan oksigen pada pesakit yang sesak nafas tersebut,” katanya.
Jam baru 5.30 pagi. Ahmad Sayuti sudah memuatnaik video persiapan yang dibuat oleh petugas CAC itu bagi menerima kedatangan ribuan pesakit yang positf Covid-19 ke CAC itu.
Sebelum ini, apabila kerusi roda diperlukan, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad dan rakan-rakannya telah menyumbang 20 buah kerusi roda untuk digunakan di CAC itu. Khalid sendiri telah memunggahnya dari kereta ke CAC.

“Minggu sudah ketika kami dah jangkakan berlakunya ‘spike’ pada 4,500+ kehadiran pada ‘d-day’ Isnin (12 Julai 2021) lepas, saya bertanya pada beberapa kenalan untuk membuat sumbangan ‘wheelchair’ yang sangat diperlukan ketika krisis sebegitu.
“Masa beratur panjang, ramai pitam, jatuh, dipapah etc, disebabkan situasi ‘hypoxia’ yang kerap menyerang pesakit Covid-19. Itu adalah fenomena harian saya ketika taklimat, puluhan jumlahnya.
“Pagi Isnin itu, sahabat saya dari NGO ARIF Selangor hadir ke lokasi taklimat saya, membawakan sumbangan ‘just on time’ 20 buah ‘wheelchair’ yang semuanya digunakan serta-merta sebaik diturunkan.
“Sumbangan dibuat bersama Ahli Parlimen Shah Alam yang sudah berkali turun, membantu dan melihat sendiri fenomena CAC yang amat mencemaskan tersebut,” tulis Sayuti dalam Facebook beliau.
Menurut Sayuti, satu perkara yang patut dibanggakan kita rakyat Malaysia adalah, Malaysia dianugerahkan rakyat berbilang kaum yang sinonim dengan budaya memberi dan menyumbang ketika ada di kalangan kita yang memerlukan.
“Budaya ini adalah identiti bangsa yang wajib kita terus suburkan – iaitu perasaan ‘empathy’ cuba memahami apa yang dirasai oleh saudara yang sedang diuji dan lakukan sesuatu demi meringankan kepayahan orang lain itu, sekalipun kita tak kenali mereka,” catat Sayuti dalam Facebook beliau.