Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang ibu bersama anaknya sedang berada di atas tikar sejadah untuk memohon doa kepada Allah SWT dipercayai selepas selesai mengerjakan solat.
Menerusi rakaman berdurasi 44 saat itu, sang ibu terbabit dilihat sedang menadah tangan bersama anaknya sambil mengajar kanak-kanak perempuan berkenaan untuk berdoa secara lebih spesifik.
Si ibu kemudian meminta anaknya itu untuk mengatakan keinginan dengan jelas dan terperinci ketika memohon doa sebelum kanak-kanak berkenaan menjawab bahawa dirinya mahu memakan pisang.
Kanak-kanak itu lalu ditanya lagi pada hari apakah buah pisang tersebut ingin dimakan dan bagaimanakah cara hidangan berkenaan mahu dinikmatinya sama ada secara mentah atau digoreng.
Namun perkara yang mencuit hati orang ramai adalah cara kanak-kanak itu menjawab soalan ibunya malah sempat menambah pesanan seperti mahu menikmati empat biji pisang goreng bersama kuah kicap.
“Saya Dahlia Inara, nak pisang empat biji yang sudah siap digoreng pada hari Sabtu. Dengan kuah kicap sekali ya, Allah,” doa ibu terbabit mengikut permintaan yang dibuat oleh anaknya.
Lebih menghiburkan, kanak-kanak terbabit sempat mahu ‘menyunting’ doanya semula selepas ibunya itu selesai mengaminkannya kerana mahu menambah permintaan lain iaitu coklat.
Rakaman yang mencuri perhatian orang ramai itu dimuat naik oleh sang ibu di akaun TikTok miliknya dan setakat artikel ini ditulis, perkongsian berkenaan telah berjaya meraih mencecah 300,000 tontonan.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan gelagat kanak-kanak berkenaan yang mencuit hati selain memuji sang ibu kerana telah mula mendidik anaknya dari awal.
Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi sendiri berhubung situasi ketika doa-doa mereka dimakbulkan oleh Allah SWT selepas memohon secara lebih spesifik.