Perkongsian seorang anak gadis yang masih menuntut di universiti mengenai sikap kurang bertimbang rasa ibunya telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial tempatan baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tular yang dimuat naik di platform Threads, gadis itu meluahkan rasa kesal kerana ibunya sering meminta wang daripadanya sedangkan dirinya sendiri sedang menyimpan untuk keperluan di universiti.
Lebih memburukkan keadaan, sang ibu dilihat langsung tidak memikirkan keadaan anaknya dengan berulang-kali mendesak gadis berkenaan untuk menyerahkan wang kepadanya menerusi pemindahan secara atas talian.
Gadis terbabit juga sudah berusaha menjelaskan situasi kewangan kini dialaminya termasuklah tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengisi perutnya sendiri, namun ibunya tetap bertindak mengendahkannya.
Difahamkan, perkongsian tersebut dibuat bukan untuk meraih simpati mahupun sedekah daripada orang ramai sebaliknya hanya mahu meminta pendapat untuk menyelesaikan masalah kini dihadapinya itu.
“Sumpah sudah tak tahu macam mana nak berurusan dengan mak macam ini. Sesiapa yang pernah mengalami kejadian macam ini, tolong ajar saya macam mana nak lepaskan diri. 24 haribulan ini saya balik universiti semula.
“Jadi ada simpan sedikit duit tetapi ibu saya asyik minta sahaja. Tak tahu nak beri alasan apa lagi. Sumpah penat. Saya tiada niat nak mintak sedekah atau apa-apa,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Menerusi perkongsian itu, pelajar itu turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan bersama ibunya di aplikasi Whatsapp yang mana gadis terbabit diminta mendahulukan keperluan keluarga berbanding dirinya.
Ibunya juga didapati turut menggunakan sentimen agama seperti pahala dan rezeki untuk mendapatkan wang sehingga anaknya terpaksa membuat pemindahan kerana sudah merasa bersalah.

“Saya sayangkan mak. Tetapi dia sampai ‘body shamming’ (sidiran fizikal badan) saya. Sudah cakap jika berikan wang, nanti saya tiada duit nak makan. Dia cakap ‘tak mengapa (tak makan) kurus sedikit’. Saya pula memang berisi.
“Dengar mak cakap macam itu, terus putus asa dan beri dia duit. Bapa saya kerja, tetapi hutang keliling pinggang. Mak pula hidup gaya orang kaya. Beli barang berjenama dengan hutang. Gaji banyak habis bayar hutang sahaja.
“Kadang-kadang saya yang kena keluar duit bayar hutang itu. Tak tahu macam mana nak nasihatkan ibu saya untuk berhenti berbelanja macam orang senang. Hutang bank, pinjaman berlesen dan skim ‘beli sekarang, bayar kemudian‘ (BNPL). Ya Allah.” Kongsinya lagi.
Sekiranya keinginan tidak dipenuhi, sang ibu bertindak memuat naik rakaman ceramah agama di status aplikasi Whatsapp dengan kapsyen berbaur sindiran bahawa anaknya bersikap kedekut.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads berpendapat bahawa gadis terbabit seharusnya berhenti memindahkan wang jika merasa terbeban dan mula belajar berkata ‘tidak’.
Individu bergelar pempengaruh juga rela menghulurkan bantuan dengan menggantikan wang dipindahkan ke akaun bank ibunya kerana merasa khuatir akan kesihatan gadis terbabit yang tidak menjaga pemakanannya.
Baca juga: Bukan sekadar duit, ‘influencer’ wajib isytihar hadiah dan produk percuma kepada LHDN