Ibu digari lepas curi kotak pensil, rupanya tak mampu beri hadiah anak dapat No. 1

Oleh WAN SITI AMINAH

Hanya kerana mencuri sebuah kotak pensil yang berharga RM18, seorang wanita telah ditangkap, digari dan dibawa ke mahkamah.

Mengundang pilu, ibu itu terpaksa mencuri kotak pensil tersebut untuk dijadikan hadiah kepada anak yang berjaya mendapat nombor satu di sekolah. 

Menerima padah atas perbuatannya, wanita asal Kuala Lumpur itu ditangkap ketika sedang mencuri ‘hadiah’ berkenaan di sebuah pasar raya tempatan.

Nasib baik masih menyebelahinya, wanita itu terserempak dengan seorang peguam ketika dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.

Setelah mendengar kisah ibu malang itu, peguam jenayah, Ahmad Zaharil Muhaiyar memutuskan untuk mewakili wanita tersebut secara percuma.

Zaharil kemudian bergegas ke sekolah yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur untuk mencari kesahihan mengenai keputusan cemerlang anak wanita itu.

“Saya jumpa dengan guru besar dan tanya tentang budak itu. Guru besar tersebut keluarkan kad laporan yang menunjukkan budak itu memang nombor satu.

“Alamak saya pun sedihlah,” kata Zaharil yang segera kembali ke mahkamah bersama guru besar berkenaan sebagai saksi perbicaraan.

Pada hari yang sama, Zaharil sebagai peguam bela berhujah mewakili wanita itu dan turut menunjukkan kad laporan nombor satu tersebut sebagai bukti.

Setelah mendengar hujahan, majistret bertugas kemudian hanya memberikan wanita itu hukuman ringan berkelakuan baik selama beberapa tahun.

Tidak hanya berkhidmat secara percuma, Zaharil turut berbesar hati memberikan wang sekitar RM150 untuk membantu kewangan anak guamnya.

Beberapa tahun selepas itu, Zaharil perasan dirinya sering diperhatikan oleh seorang anak muda ketika sedang berehat di kantin mahkamah.

Hanya selepas tiga hari berlalu, barulah anak muda berkenaan memberanikan diri untuk menegur Zaharil sambil memperkenalkan dirinya.

Sudah menjadi seorang peguam, anak muda itu rupa-rupanya merupakan kanak-kanak yang meminta agar ibunya memberikan hadiah kotak pensil.

“Berjurai air mata saya. Saya pun tak tahu apa yang patut saya lakukan. Tapi sebabkan saya menolong dia, budak itu dah menjadi seorang peguam.” Ulasnya

Baca juga: Dekat sini rupanya butik buang baju tak terjual, setiap tahun 39,000 ton pakaian berakhir di gurun ini