Ibu hamil dakwa doktor pulas telinga depan pesakit lain, diperli sebab tak jaga jarak anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang ibu hamil tentang pengalamannya ketika mendapatkan pemeriksaan kandungan di sebuah klinik kesihatan telah berjaya mengundang perhatian pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, ibu hamil terbabit mendakwa doktor itu seperti tidak menjaga batas dengan pesakit malah turut merasa dirinya seakan-akan direndahkan di depan orang lain yang berada di klinik kesihatan berkenaan.

Kejadian dikatakan berlaku ketika wanita itu berkunjung buat kali pertama ke klinik kesihatan di kawasan tersebut dengan tujuan untuk membuka buku pink atau rekod kesihatan kehamilan selepas mengandung anak kedua.

Wanita itu bagaimanapun tidak menyangka telinganya malah dipulas oleh doktor terbabit selepas menjawab pertanyaan mengenai usia anak sulungnya yang berumur satu tahun 10 bulan.

“Adakah seorang doktor itu boleh sesuka hati naik tangan pulas telinga pesakit? Saya amat terkilan. Tetapi masa itu lebih fikir diri tengah alahan teruk sampai muntah dekat klinik kesihatan tadi.

“Dengan tengah laparnya. Jadi aku macam reda sahaja kena pulas telinga. Servis memang teruklah doktor itu,” katanya yang memaklumkan bahawa kejadian berpunca dari isu jarak kehamilannya dikatakan terlalu dekat.

Mengulas lanjut di ruangan komen, ibu hamil itu kurang bersetuju bahawa jarak kehamilannya terlampau dekat memandangkan anak sulungnya bakal memasuki usia dua tahun pada bulan Mac nanti.

Tindakan doktor berkenaan juga bukan sahaja disifatkan tidak profesional malah turut menimbulkan rasa segan ibu hamil terbabit kerana dilakukan di hadapan pegawai perubatan dan pesakit lain dalam bilik rawatan itu.

“Saya dijangka bersalin bulan Julai. Anak sulung umur dua tahun empat bulan masa itu. Perkara yang buatkan saya terkilan adalah dia pulas telinga di hadapan seorang lagi doktor bersama pesakit dan jururawat juga.

“Malu saya masa itu. Dengan suara dia didengar satu bilik. Selepas itu dia sambung pula ceramah saya siap macam merendahkan pula. Dia cakap, ‘Hang mampu ke bayar tadika anak-anak hang?’.

“Katanya lagi, ‘Tak kan anak hantar anak-anak ke tadika perpaduan kemas sahaja. Mesti nak hantar tadika swasta, hang mampu bayar ke?’. Terasa jugalah sebab saya bekas guru tadika kemas. Ingat anak tadika kemas ini lekeh ke?,” kesalnya.

Ibu hamil itu enggan mendedahkan secara terperinci namun memaklumkan bahawa doktor yang memulas telinganya adalah pegawai perubatan wanita dan kejadian berlaku di sebuah klinik kesihatan di Kedah.

Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna Threads dalam perkongsian itu.

Baca juga: ‘Durian runtuh’ buat petani, kos pengeluaran dijangka turun