Terlihat sebuah kereta terlibat dalam kemalangan sehingga terlanggar tiang lampu, orang ramai segera menghampiri untuk membantu.
Mulanya menyangka kenderaan itu dibawa oleh pemandu mabuk, mereka terkejut apabila kanak-kanak enam tahun yang keluar dari tempat memandu.
Kejadian tersebut berlaku di Jalan Bukit Tangga, berdekatan Titicawang, Langkawi pada pukul 11.15 malam semalam.
Akibat insiden tersebut, anak kecil itu mengalami luka kecil pada dagu, manakala adiknya yang duduk di tempat penumpang tidak mengalami kecederaan.
Mahu pergi ke kedai, kanak-kanak itu memandu Toyota Vios bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk membeli mainan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kanak-kanak itu telah memandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer sebelum terbabas.
“Kereta dipandu kanak-kanak berusia enam tahun bersama seorang penumpang yang juga adiknya, berusia tiga tahun tanpa pengetahuan ibu bapanya.
“Kereta itu yang datang dari arah Ulu Melaka hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, berdekatan Titicawang,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu dipercayai keluar dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur, manakala ibu berada di dalam bilik air.
Rakamannya tular di media sosial, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Baca juga: Dakwa isteri minta duit untuk gugur kandungan, Hafidz Roshdi buat laporan polis