Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melaksanakan inisiatif khas sempena sambutan Thaipusam 2026 bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai, khususnya mereka yang menuju ke Batu Caves.
Inisiatif ini selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan bertujuan menyediakan perjalanan yang lebih selamat, lancar serta selesa kepada orang awam sepanjang tempoh perayaan.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dengan 609 perjalanan tambahan.
Ini termasuk operasi selama 24 jam pada 30 Januari hingga 2 Februari dan tambang percuma turut ditawarkan khas pada 31 Januari dan 1 Februari.
Selain itu, sebanyak 10,080 tiket melibatkan lapan tren tambahan ETS disediakan bagi tempoh operasi bermula 29 Januari hingga 3 Februari, dengan jualan tiket dibuka seawal 26 Januari 2026.
Bagi memudahkan pergerakan jemaah ke lokasi tumpuan, perkhidmatan bas shuttle Rapid KL disediakan secara percuma dengan kekerapan setiap 10 minit dari Hab Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kampung Batu ke Batu Caves pada 31 Januari dan 1 Februari.
Perkhidmatan shuttle Rapid Penang dari Jeti ke Adventist turut ditawarkan secara percuma pada tarikh yang sama.
Bagi perkhidmatan feri Pulau Pinang juga ditawarkan secara percuma selama 53 jam bermula 31 Januari hingga 2 Februari.
Manakala perkhidmatan BAS.MY percuma disediakan di Johor Bahru, Seremban, Ipoh, Kota Setar dan Sungai Petani pada 1 Februari.
Sebagai langkah tambahan, orang ramai digalakkan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai sepenuhnya melalui KITS Style, Touch ‘n Go atau kad debit dan kredit.
Diskaun 50 peratus KTM Komuter turut ditawarkan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU), manakala kanak-kanak bawah tiga tahun menikmati tambang percuma.
Seramai 250 petugas daripada pelbagai unit KTMB bersama pasukan perubatan Hospital Selayang dan St John Ambulans turut bersiap siaga bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan sepanjang sambutan Thaipusam 2026.
Baca juga: Pentadbiran PMX catat penurunan konsisten hutang bersih