Inilah kualiti Najib dan Mahiaddin, dua-dua suka membazir

Oleh KIM SYAZIE

Dah bergaduh pula PM-8 dengan PM-6 pasal isu Sri Perdana.

Mahiaddin kata Najib dah ambil perabot, jadi terpaksa beli perabot baharu dan buat pengubahsuaian sebab banyak struktur bangunan yang dah rosak.

Najib nafikan dakwaan Mahiaddin tu dan tuduh pulak Mahiaddin yang nak besarkan dapur sebab dapur sedia ada terlalu sempit. Kelakar bukan?

Namun itulah kualiti bekas-bekas PM yang kita pernah ada. Kedua-duanya pun suka membazir.

Bahkan ketika era pentadbiran Najib, kos ubah suai Seri Perdana yang dikatakan mencecah RM65 juta langsung tidak pernah dijawab.

Di zaman kerajaan PN-BN inipun, mujurlah Parlimen akhirnya bersidang. Baharulah kita tahu rupanya dalam diam, Seri Perdana sekali lagi diubah suai dengan kos mencecah RM38.5 juta!

Dalam keadaan kantung negara yang tenat dan pendapatan rakyat merosot teruk, sebaliknya PM yang konon tampil dengan imej ‘tawaduk’, masih berbelanja mewah menggunakan wang rakyat?

Dan jangan pernah lupa, Mahiaddin jugak pernah luluskan sejumlah lebih RM30 juta wang rakyat untuk membina dewan di kawasan Parlimennya sendiri. Apa keperluannya dewan dibina dalam keadaan pandemik dan rakyat tidak dibenarkan berkumpul beramai-ramai?

Ironinya ketika era Pakatan Harapan (PH), tidak pernah timbul pun isu tentang Seri Perdana bukan? Apakah kerajaan PH mengabaikan kompleks kediaman rasmi PM tersebut? Tidak.

Malah ketika era PH jugak pernah dianjurkan majlis sambutan hari raya aidilfitri yang dihadiri puluhan ribu rakyat jelata di Sri Perdana. Namun tak ada pulak halangan untuk diadakan majlis di situ atas faktor keselamatan atau bangunan yang rosak bukan?

Justeru kenapa isu ubah suai Seri Perdana hanya muncul selepas era PH dan bukan ketika PH memerintah?

Jawabnya, ketika era pentadbiran PH, kerajaan amat berhemah dalam berbelanja. Ubah suai Seri Perdana bukan keutamaan dalam perbelanjaan kerajaan bahkan ketika era PH juga kerajaan tidak pernah berselindung tentang kedudukan sebenar kewangan negara.

Sejurus menteri-menteri dilantik, semua mereka dipotong gaji terlebih dahulu malah jumlah menteri jugak dikurangkan.

Berbanding era BN-PN hari ini, sudahlah jumlah menteri Kabinet bersaiz mega, dalam keadaan sumber kewangan negara makin terhad inipun, kerajaan tetap meneruskan amalan membazir seperti puluhan tahun ketika era BN dahulu.

Amat jauh beza corak pentabdiran PH berbanding PN ataupun BN bukan? Masih percaya propaganda kaum dan sentimen keagamaan?