Baru-baru ini gempar tentang dakwaan seorang penyanyi nasyid terkenal berstatus suami orang dikatakan berlaku curang dengan isterinya apabila didapati keluar berdua-duaan dengan wanita lain di tempat awam.
Terbaharu, sebuah portal hiburan iaitu Gempak menerima pesanan mesej daripada seorang individu mendedahkan identiti penyanyi nasyid yang didakwa telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita berusia 20-an itu.
Menurut individu terbabit, penyanyi yang merupakan ahli kumpulan nasyid terkenal itu sebenarnya sudah berlaku curang sejak akhir tahun lalu sebelum mula terhidu oleh pihak media pada bulan April baru-baru ini.
Wanita yang didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga penyanyi berkenaan pula dikatakan adalah anak kepada ahli politik dan mereka berdua kerap dilihat keluar bersama di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara.
Namun hubungan itu dikatakan belum diketahui umum memandangkan penyanyi nasyid berkenaan bersama isterinya dilihat cuba menyembunyikan masalah rumah tangga mereka terutamanya di sosial media.
“Maklumat ini saya dapat dari kenalan rapat perempuan yang curang dengan artis nasyid terbabit. Artis nasyid itu adalah dari kumpulan nasyid terkenal. Sebelum ini, tular pada bulan April lalu tentang isu artis nasyid curang.
“Tetapi tiada sebarang respon daripada artis itu. Maklumat yang orang itu beri kepada saya adalah hubungan artis ini dengan perempuan berkenaan mulai terjalin sejak akhir tahun lalu ketika pergolakan rumah tangga lelaki terbabit.
“Tiada orang tahu lagi sebab mereka cuba menutupinya dengan perkongsian indah-indah sahaja di media sosial walaupun sebenarnya rumah tangga sudah berada di hujung tanduk,” kata sumber yang tidak dinamakan itu.
Namun perkara yang lebih menyedihkan adalah isteri kepada penyanyi nasyid berkenaan dikatakan baru sahaja melahirkan anak mereka namun terpaksa berhadapan dengan masalah rumah tangga.
Difahamkan, isteri kepada penyanyi berkenaan ketika ini sudah mengetahui mengenai hubungan sulit dijalinkan oleh suaminya dan memberikan kebenaran kepada lelaki itu untuk berkahwin lain.
“Orang itu juga beritahu yang perempuan ini (kekasih penyanyi nasyid) adalah anak ahli politik dan umurnya 26 tahun. Mereka selalu keluar berdua-duaan dekat pusat membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur.
“Isteri artis ini pula baru sahaja lepas bersalin. Tak tahulah macam mana dia hadap benda ini” tulis individu itu ketika memberi maklumat mengenai hubungan artis terbabit memetik laporan Gempak.