Isteri kedua sedih tak dapat salam suami di pagi raya, bertahun balik kampung sendiri

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita bergelar isteri kedua tentang pengalamannya menyambut Hari Raya tanpa suami di sisi telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Threads miliknya, wanita itu memaklumkan bahawa dirinya sudah mendirikan rumah tangga bersama lelaki yang bergelar suami orang selama hampir enam tahun.

Namun lelaki terbabit tidak pernah mengikutnya untuk pulang ke kampung meraikan Hari Raya bersama sejak mereka berkahwin sebaliknya lebih memilih meluangkan masa bersama isteri pertama dan anak-anaknya.

Wanita itu mengakui sudah reda dengan apa yang telah terjadi namun tetap bersedih kerana tidak pernah merasa kemeriahan sambutan bersama insan tersayang terutama bersalaman di pagi raya dengan suami.

“Saya sudah berkahwin selama hampir enam tahun tetapi tak pernah beraya bersama-sama dengan suami. Apabila Hari Raya, saya akan ambil cuti seminggu dan memandu balik ke kampung untuk beraya bersama keluarga.

“Suami akan beraya dengan isteri pertama dengan anak-anak. Saya tiada anak. Jadi saya reda kalau suami tak nak beraya bersama di atas alasan anak-anak. Saya sedar diri. Sebab itu saya biarkan sahaja suami pergi.

“Walaupun saya mengaku merasa sedih sebab tak pernah bersalaman di pagi raya macam orang lain. Jadi tahun ini saya ingat nak beraya di luar negara seorang diri. Ada tak orang sediakan pakej pada Hari Raya nanti?,” soalnya.

Difahamkan, wanita itu membuat perkongsian tersebut untuk bertanya sekiranya ada pihak menawarkan pakej terbuka untuk melancong bersama ke luar negara ketika insan lain menyambut Hari Raya beberapa bulan lagi.

Hal ini kerana wanita terbabit mahukan ketenangan jiwa apabila berada di luar negara dan tidak mahu memikirkan nasibnya tidak dapat meluangkan masa bersama suami seperti wanita lain yang sudah mendirikan rumah tangga.

“Saya berkahwin secara sah, bukan senyap-senyap. Semua keluarga dan kenalan tahu. Cuma apabila Hari Raya atau apa-apa perayaan, saya memang mengalah untuk suami beraya dan bercuti dengan isteri pertama serta anak-anak.

“Kalau ada mana-mana agensi yang buka pakej ketika Hari Raya nanti, beritahu saya ya. Tolong, jangan pula menghakimi perkongsian saya ini.” Ujarnya dalam hantaran di platform media sosial tersebut.

Berikut adalah di antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna Threads di hantaran itu di mana rata-ratanya menyalahkan wanita terbabit kerana memilih untuk mendirikan rumah tangga dengan suami orang.

Ramai juga pengguna berpendapat bahawa suami wanita itu sepatutnya membatalkan sahaja hasratnya untuk menikah lagi sekiranya tidak mampu berlaku adil kepada kedua-dua isteri seterusnya melukakan hati mereka.

Baca juga: Akaun palsu sebar fitnah agama, Ezzanie Jasny dakwa keluarga terima ugutan