Isu saman waris Sulu: Najib seleweng fakta, ini tujuh perkara yang sebenarnya

Oleh ARIF ATAN

Pemuda AMANAH Nasional menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri, Najib Razak bertindak untuk menipu rakyat dan cuba menuduh pihak lain bertanggungjawab berkenaan kes saman waris Sulu.

Menerusi kenyataan sayap pemuda parti berkenaan, penipuan Najib yang membimbangkan dan menimbulkan kerisauan masyarakat itu terkandung dalam hantaran Facebook laman Najib Razak pada 13 Mac, 12 Julai dan semalam.

Antara penipuan fakta yang dilakukan oleh Najib adalah:

1. Pakatan Harapan dan Peguam Negara Tommy Thomas telah mengambil tindakan ‘luar biasa bodoh’ dengan mengeluarkan surat bertarikh 19.9.2019;

2. Saman timbangtara waris Sulu telah dimulakan pada 2019 sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Malaysia;

3. Waris Sulu telah menunggu sehingga 2018 sewaktu kerajaan bertukar tangan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan untuk memulakan saman ke atas Malaysia;

4. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melawan kes di timbangtara tersebut; dan

5. PH telah menyebabkan kedaulatan Sabah hilang dan Malaysia perlu membayar RM63 bilion.

Berikut ini tujuh fakta sebenarnya:

1. Kausa tindakan saman waris Sulu tersebut adalah berpunca daripada tindakan Perdana Menteri tahun 2013, Najib Razak, yang mengambil keputusan menghentikan bayaran ‘penyerahan hak’ kepada waris Sulu selepas insiden pencerobohan Lahad Datu;

2. Kerajaan Najib Razak juga gagal mengambil langkah susulan yang teratur selepas menamatkan pembayaran tersebut dengan cara mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan dan
mencabar Deed 1878 dan 1903 sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh mendiang Ahli Parlimen Jelutong, Karpal Singh;

3. Saman waris Sulu telah pun dimula di timbangtara Madrid pada Disember 2017, sebelum Pakatan Harapan mentadbir Malaysia;

4. Kerajaan Najib Razak juga gagal menghantar sebarang peguam ke prosiding perlantikan penimbangtara pada Februari 2018 dan menyebabkan Dr Stampa dilantik sebagai penimbangtara secara sebelah pihak;

5. Peguam Negara Tommy Thomas dalam surat 2019 tersebut telah berkali-kali menegaskan bahawa waris Sulu tidak berhak untuk membawa sebarang pertikaian di mana-mana tempat timbangtara.

Apa-apa pertikaian yang berbangkit daripada Deed 1878 dan 1903 perlulah diputuskan oleh bidangkuasa yang tepat iaitu Mahkamah Malaysia;

6. Tawaran membayar wang tertunggak bayaran ‘penyerahan hak’ tersebut adalah dibuatkan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Borneo Utara 1939.

Penghakiman tersebut masih mengikat tindakan Malaysia, memandangkan kerajaan Najib Razak pada tahun 2013, 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tidak pernah sekalipun mengambil tindakan
undang-undang untuk membatalkan Deed 1878 dan 1903 serta mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Borneo 1939 tersebut; dan

7. Peguam Negara semasa dan kerajaan semasa juga tidak pernah menyatakan terdapat sebarang salah laku oleh pentadbiran Pakatan Harapan berkaitan dengan isu saman waris Sulu ini.

Ekoran penyelewengan fakta dan salah nyata maklumat berkaitan saman waris Sulu ini, Pemuda AMANAH Nasional membuat laporan polis terhadap Najib yang sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Kenyataan Najib jelas tidak bertanggungjawab dan telah menyebabkan berlaku kekeliruan fakta, provokasi ke atas pihak lain dan malah merendah-rendahkan tindakan yang diambil oleh Pejabat Peguam Negara pada 2019.

“Tindakan Najib Razak melalui hantaran-hantaran Facebook tersebut sudah tentu berniat jahat dan bertujuan untuk merosakkan reputasi pihak lain serta dibuat dengan kebarangkalian tinggi untuk menutup kesilapan, kekurangan dan peninggalan pentadbiran beliau yang telah membawa kepada masalah kini…,” tegas Pemuda AMANAH Nasional.

Dalam masa sama, tambahnya, kenyataan Najib menerusi siri hantaran di media sosial itu mampu menyebabkan pihak lain seperti bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dikenakan dakwaan dan hukuman jenayah atas kononnya kegagalan menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.

Baca juga Tuntutan Sultan Sulu: Apa di sebaliknya? Ini senarai soalan yang Najib Razak perlu jawab