Jawatankuasa Pimpinan (JKP) Pemuda AMANAH Nasional memutuskan agar Task Force Banjir Pemuda 2021 yang telah ditubuhkan pada 19 Disember 2021 dinaiktaraf kepada Jawatankuasa Operasi Bantuan & Pemulihan Pasca Banjir Pemuda AMANAH Nasional 2021 atau singkatannya Jawatankuasa Ops Banjir Pemuda 2021.
Ketua Pemuda AMANAH Mohd Hasbie Muda berkata, ianya bertujuan memastikan penyelarasan semua urusan bantuan dan pemulihan pasca banjir dapat digerakkan dengan lebih tersusun, terarah dan menyeluruh.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas pada 24 Disember 2021 bagi memantapkan penyelarasan operasi bantuan dan pemulihan pasca banjir.
Dalam pada itu, JKP Pemuda AMANAH Nasional juga mengambil maklum mengenai Tabung Khas Sumbangan Pembelian Water Jet yang digerakkan oleh Pemuda telah mencecah RM35,510.86.
“Sebanyak RM7,092.00 telah dibelanjakan melibatkan pembelian sembilan (9) buah water jet pada 23 Disember 2021.
“Baki RM28,418.86 akan segera dibelanjakan melibatkan pembelian water jet yang dianggarkan sebanyak 30-35 unit lagi. Keseluruhan jumlah sumbangan seratus peratus adalah untuk tujuan pembelian water jet,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanua, JKP Pemuda bersetuju untuk menamatkan Tabung Khas berkuatkuasa pada 25 Disember 2021 jam 12.00 tengahari.
Tambahnya, sumbangan selepas tarikh dan masa tersebut (jika ada) akan disalurkan kepada kegunaan bantuan banjir yang lain.
“JKP Pemuda juga telah menetapkan agar penyata penerimaan dan perbelanjaan serta semua dokumen berkaitan termasuk resit pembelian dipaparkan kepada umum bagi tujuan ketelusan dan integriti.
“JKP Pemuda juga bersetuju agar Bendahari memantau inventori semua water jet tersebut agar ia tidak hilang atau tidak dapat dijejaki bagi kegunaan pada masa-masa yang akan datang.
Selaras dengan pembentukan Jawatankuasa Ops Banjir Pemuda 2021, Pemuda AMANAH Nasional akan terus komited menggembleng tenaga Pemuda di seluruh negara untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir di semua kawasan terjejas agar kehidupan mangsa-mangsa banjir dapat segera dipulihkan sebagaimana sediakala.