Jadi mangsa ‘clickbait’ portal, konon rumah tangga bergolak, Mawi bagi amaran nak saman pihak tak bertanggungjawab

Oleh MAISARAH AISYA

Ini bukalah kali pertama artis menjadi mangsa ‘clickbait’ portal tertentu yang mahu mengambil keuntungan dengan cara tidak bertanggungjawab.

Setiap tajuk yang sensasi pastinya akan menarik minat orang ramai untuk membuka artikel tersebut walaupun ia adalah berita palsu.

Terbaru, juara Akademi Fantasia 3 mendedahkan dirinya telah menjadi mangsa fitnah portal yang menyebarkan tajuk mengenai status rumah tangga yang dikatakan bergoyah.

Menurut Kosmo! Online, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani menyifatkan perkara tersebut sebagai melampau.

“Apa yang mereka lakukan itu memang melampau kerana boleh buat orang bersangka buruk terhadap saya dan isteri,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Walaupun memahami tujuan portal tersebut menggunakan tajuk sebegitu kerana mahu melariskan perniagaan namun baginya perkara tersebut boleh mendatangkan fitnah.

“Setahu saya pengendali portal sebegitu ada tujuan lain. Saya tidak tekan (klik) pun pautan berita itu.

“Mereka (pengendali portal) berniaga dengan menjual produk dan sengaja meletakkan tajuk sensasi untuk menarik perhatian pembaca melayari portal mereka,” tambahnya.

Mawi juga terkilan dengan sikap sesetengah pihak yang menyalahgunakan media sosial, semata-mata untuk mengaut keuntungan sahaja.

“Guna nama orang lain untuk berniaga dan mengaut keuntungan, saya rasa perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Nak berniaga biarlah dengan cara yang bersih.

“Apa yang mereka lakukan itu memang melampau sebab melibatkan orang lain. Sedikit-sebanyak juga akan menyebabkan orang bersangka buruk terhadap saya dan isteri. Jadi tidak baguslah,” ujarnya.

Malah Mawi memaklumkan isterinya, Ekin juga terjejas secara emosi akibat artikel tersebut apabila dihubungi rakan-rakan untuk mengesahkan perkara itu.

Disebabkan itu, mereka tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap portal yang menyebarkan berita palsu.

“Saya dan isteri ada berbincang dan tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis serta menyaman pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Tujuannya untuk memberi pengajaran kepada mereka agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu.

“Jangan suka-suka gunakan nama orang lain untuk ambil kesempatan. Islam menggalakkan kita berniaga tapi biar dengan cara yang betul dan ikhlas. Bukan babitkan orang lain,” tegas Mawi.

Baca juga: Michael Gambon terkenal watak Albus Dumbledore di filem Harry Potter meninggal dunia