Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil memberi penjelasan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan pembuatan sabun daripada bahan berasaskan khinzir.
Menurut kenyataan Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, pihaknya mengambil maklum keresahan orang ramai susulan penularan video berkenaan dan menegaskan bahawa produk tersebut tidak diperakui halal oleh JAKIM.
Jelas JAKIM, semakan mendapati produk itu juga tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh JAKIM.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dalam memilih produk, terutamanya barangan yang tidak jelas status halalnya.
Pengguna juga digalakkan untuk menyemak label, kandungan produk serta memastikan logo halal yang dipaparkan adalah sah dan diiktiraf sebelum membuat sebarang pembelian.
JAKIM turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa memilih produk yang telah mendapat pensijilan halal JAKIM atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf.
Ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga kepatuhan terhadap syariat Islam.
Baca juga: Lelaki dalam video tular pukul warga emas mengaku bersalah, didenda RM5,500