Jangan pandang rendah, bayaran Bella Astillah nyanyi 1 malam setara gaji Syed Saddiq sebulan

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap tunangnya iaitu penyanyi dan pelakon, Bella Astillah tidak dipandang rendah walaupun mereka memiliki latar belakang pekerjaan yang berbeza.

Menurut Syed Saddiq, mereka yang menceburi bidang seni seperti Bella tidak sewajarnya diremehkan malah pendapatan diperoleh juga lumayan bahkan melebihi gaji bulanan diterimanya sendiri sebagai ahli politik.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Syed Saddiq ketika hadir menjadi tetamu di dalam satu program audio siar atau ‘podcastLebih Masa yang disiarkan di platform Youtube.

“Saya berada dalam parti politik pembangkang. Dalam Parlimen juga saya di kerusi pembangkang. Tetapi bila saya diberikan peluang juga untuk bekerja di luar skop politik, walaupun kebanyakkan dananya disumbang balik ke Muar. Saya perasan.

“Orang ingat politik ini bayarannya banyak. Tetapi gaji di luar jauh lebih baik. Saya pernah kongsikan perkara ini dengan tunang. Bayaran dia terima untuk menyanyi satu malam itu sudah bersamaan dengan gaji saya untuk sebulan.

“Sekarang apabila saya ikut buat penggambaran, satu hari bayaran yang diterima sudah bersamaan dengan gaji selama dua ke tiga bulan sebagai Ahli Parlimen,” dedahnya menerusi sesi temu bual dalam program tersebut.

Dalam pada itu, ahli politik berusia 33 tahun terbabit turut menekankan pendiriannya untuk menyokong Bella agar terus mengejar cita-citanya dan tidak mengorbankan impiannya selepas menjadi isteri kelak.

Syed Saddiq juga menafikan dakwaan bahawa Bella bakal memperlahan kerjayanya dan kelak hanya akan menjadi ‘isteri ahli politik’ yang menemaninya ke majlis rasmi semata-mata selepas mereka berkahwin nanti.

“Memang perlu ada banyak pendedahan tentang masa depan kerana saya tak mahu mengejar impian seorang diri sahaja. Namun demi impian tersebut, saya malah mengorbankan impian pasangan. Itu tidak betul dan tidak adil.

“Saya tak nak kerana impian sendiri, terkuburlah impian pasangan. Sebagai seorang wanita bekerjaya yang boleh dikatakan jauh lebib baik daripada saya, itu tidak adil.” Ujarnya lagi ketika ditanya tentang perancangan masa hadapan selepas mereka berkahwin.

Baca juga: “Kenapa Dicky je?” – Stesen radio dedah sudah ‘reach out’, tapi ditolak secara baik