Jangan tinggal sesuka hati! JPN dedah proses sah jika tak mampu besarkan anak sendiri

Oleh MAISARAH AISYA

Ramai masih tidak menyedari bahawa satu keputusan dalam situasi sukar mampu menentukan keseluruhan masa depan seorang anak yang baru dilahirkan.

Melalui satu perkongsian di media sosial, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang menegaskan bahawa bayi tidak boleh dan tidak wajar ditinggalkan sewenang-wenangnya di mana-mana tempat tanpa perlindungan dan prosedur yang sah.

Menurut kenyataan tersebut, langkah paling penting yang perlu dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga ialah mendaftarkan kelahiran bayi di JPN.

Proses ini memastikan kanak-kanak tersebut diiktiraf sebagai warganegara serta mempunyai hak yang dilindungi di sisi undang-undang.

“Dalam apa jua keadaan sekalipun, bayi berhak untuk didaftarkan supaya identitinya jelas dan masa depannya terjamin,” menurut perkongsian itu.

JPN turut menjelaskan bahawa bagi ibu bapa yang tidak mampu membesarkan anak, masih terdapat saluran yang sah dan teratur seperti proses penjagaan atau pengambilan anak angkat.

Prosedur ini perlu disertakan dengan dokumentasi lengkap termasuk akuan sumpah penyerahan anak oleh ibu kandung kepada ibu bapa angkat bagi memudahkan urusan serta mengelakkan sebarang isu perundangan di kemudian hari.

Dalam masa sama, JPN menekankan bahawa setiap anak yang dilahirkan tidak bersalah atas keadaan yang dihadapi, namun tetap berhak untuk hidup, dilindungi dan diberi peluang membina masa depan.

“Jangan biarkan permulaan yang sukar menjadi noktah kepada kehidupannya,” jelas kenyataan itu lagi.

Perkongsian tersebut turut mengingatkan masyarakat agar lebih peka terhadap tanggungjawab menjaga kebajikan bayi serta menggunakan saluran yang betul dalam setiap keputusan yang melibatkan masa depan kanak-kanak.

Baca juga: Kapal pertama bawa 1 juta tong minyak dah sampai, berapa lama boleh tahan? Ini jawapan Petronas