Seorang jemaah haji warga Indonesia mencetuskan suasana cemas dalam sebuah penerbangan apabila tiba-tiba meminta untuk turun dari pesawat kerana teringat haiwan peliharaannya belum diberi makan.
Insiden itu berlaku ketika rombongan jemaah haji dari Mamuju, Sulawesi Barat sedang dalam perjalanan menuju ke tanah suci. Dalam rakaman video yang tular di media sosial, wanita warga emas tersebut dilihat bangun dari tempat duduknya dan berkeras mahu keluar dari pesawat.
Menurut perkongsian tersebut, jemaah berkenaan mendakwa dia ingin pulang kerana teringat ayam-ayam peliharaannya di rumah belum diberi makan. Keadaan itu menyebabkan suasana dalam pesawat menjadi tegang seketika.
Bagaimanapun, kru penerbangan bersama petugas haji segera bertindak menenangkan wanita itu. Setelah dipujuk, dia akhirnya akur dan kembali duduk di tempatnya sebelum perjalanan diteruskan seperti biasa.
Difahamkan, jemaah tersebut merupakan sebahagian daripada kumpulan jemaah haji yang berlepas dari Mamuju ke Makassar sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah.
Namun begitu, terdapat penjelasan daripada pihak berkuasa Indonesia yang memaklumkan bahawa permintaan wanita itu untuk turun bukan semata-mata kerana ayamnya, sebaliknya dipercayai berpunca daripada rasa takut kerana pertama kali menaiki pesawat.
Walau apa pun puncanya, situasi berjaya dikawal dan jemaah tersebut selamat meneruskan perjalanan bersama rombongan lain ke destinasi.