Jika Pas mengetuai PN, sudah tentu Tan Sri Abdul Hadi pengerusi – Bersatu Kelantan

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mungkin akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu menggantikan Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuatkuasa pada hari ini.

Bersatu Kelantan memaklumkan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan Ahli Parlimen Marang itu bakal dilantik sebagai pemimpin utama PN sekiranya Pas menerajui parti gabungan berkenaan kelak.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor menjelaskan perkara itu diambil kira daripada status Pas dan Bersatu selaku dua parti besar yang berada di dalam gabungan tersebut, lapor Berita Harian.

Malah Datuk Kamaruddin juga memaklumkan bahawa Muhyiddin sebelum ini juga pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Abdul Hadi, namun pemimpin berusia 78 tahun itu memilih untuk menolak tawaran tersebut.

“Memandangkan dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu BERSATU dan PAS berbanding parti lain, maka logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari PAS.

“Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika PAS yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Tan Sri Abdul Hadi,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Datuk Kamaruddin berkata pelantikan Pengerusi PN dijangka akan dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan yang melibatkan semua ketua parti dalam gabungan tersebut mendapat kata sepakat.

Datuk Kamaruddin juga mengakui pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN baharu yang bakal dilantik nanti dipilih daripada kalangan pemimpin parti Pas.

Terdahulu Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan bahawa pemimpin yang akan dipilih sekiranya parti itu menerajui PN kelak tidak semestinya Abdul Hadi Awang selaku Presiden.

Sebaliknya calon pemimpin yang akan dilantik sebagai Pengerusi PN nanti adalah daripada kalangan individu diyakini boleh menggembleng kekuatan parti berada di bawah perikatan berkenaan.

Baca juga: Ahmad Fadhli yakin pemimpin Pas mampu terajui PN, calon tak semestinya Hadi Awang?