Ramai rakyat Malaysia masih berdepan kesukaran untuk menjelaskan saman yang tertunggak, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Kenaikan kos sara hidup, komitmen kewangan bulanan seperti sewa rumah, ansuran kenderaan dan perbelanjaan harian menyebabkan bayaran saman sering ditangguhkan.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan diskaun 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini khas buat pengguna jalan raya menjelaskan saman tertunggak.
Menurut Bernama, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan diskaun berkenaan terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun.
Jelas beliau mereka yang mempunyai saman tertunggak diminta menggunakan peluang ditawarkan untuk buat pembayaran di kaunter JPJ atau saluran pembayaran disediakan.
“Kita menggesa semua rakyat mengambil peluang yang diberi dalam tempoh dua bulan ini bagi menjelaskan saman masing-masing kerana kita akan memulakan diskaun 50 peratus mulai 1 November hingga 30 Disember 2025.
“Ia untuk semua jenis saman, bukan untuk saman AwAS (Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang kita gerakkan dari awal tahun lepas.
“Tapi untuk semua jenis saman kecuali saman yang tidak boleh dikompaun iaitu yang perlu dibawa ke mahkamah.
“Orang ramai diharap dapat berbuat demikian kerana mulai 1 Januari 2026 tiada lagi diskaun dikeluarkan kepada umum termasuklah saman JPJ dan saman PDRM,” katanya seperti dipetik Bernama.
Baca juga: Fakta menarik kereta kebal kalis peluru Trump yang dinaiki PMX