Jual servis ucap selamat malam untuk 65 sen, wanita terima 10,000 pelanggan dalam masa 12 tahun

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sangka ada orang yang sanggup melanggan servis daripada individu tak dikenali untuk mengucapkan selamat malam buat mereka.

Walaupun hanya meletakkan caj yang rendah, wanita di China itu tidak menyangka ramai sanggup menggunakan khidmatnya.

Menurut South China Morning Post (SCMP), Jiumei sudah menawarkan khidmat tersebut sejak 12 tahun lalu.

Wanita berusia 30-an itu menawarkan perkhidmatan itu di platform e-dagang China, Taobao, yang dikendalikan oleh Alibaba.

Walaupun tidak menguntungkan, dia turut menghantar lebih 50,000 mesej secara keseluruhan dengan perkataan berbeza dalam bahasa Cina.

Bukan hanya ucapan selamat malam, dia turut menghantar ayat-ayat puitis dan memujuk seperti diminta pelanggan.

Beri peluang kepada individu sunyi

Wanita tersebut memaklumkan saluran Personage mesej yang dihantar adalah untuk beri keselesaan buat individu yang kesunyian.

Walaupun ramai membeli mesej untuk orang yang mereka sayang, namun ada juga dibeli untuk dihantar kepada bekas kekasih.

Bagaimanapun, Jiumei menolak menghantar mesej daripada orang bujang kepada individu yang sudah berkahwin untuk elak pergaduhan.

Pada masa sama, dia berkongsi mengenai seorang ibu yang meminta dirinya mengucapkan selamat malam buat anak berusia 14 yang mengalami masalah kebimbangan.

Remaja tersebut dikatakan berhenti mempercayai ibu bapanya yang sukar memahami penyakitnya, jadi ibunya menggunakan khidmat tersebut agar anak itu tidak sunyi.

Seorang individu membeli perkhidmatan itu untuk abangnya, pesakit barah tahap akhir .

Abang dikatakan semakin mengasingkan diri daripada keluarga dan individu tersebut berharap mesej itu akan menemani abangnya.

Menurut Jiumei, perniagaan itu tidak pernah menguntungkan kerana hanya pendapatan maksimum 3,000 yuan (kira-kira RM1,943) setahun.

Pernah terfikir untuk menghentikan perniagaan tersebut, Jiumei berubah fikiran selepas bekas pelanggan menghubunginya untuk mengucapkan terima kasih.

Baca juga: Tak sangka garam boleh selesaikan masalah tandas tersumbat, ini 6 langkah mudah lancarkan saluran