Kaki diikat dan kuku diumpil, terkejut bila tahu punca wanita diculik ketika bercuti di Pulau Pinang

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berdepan dengan detik cemas apabila diculik oleh sekumpulan individu ketika sedang bercuti di Georgetown, Pulau Pinang.

Dikurung di dalam sebuah rumah selama 10 hari, wanita tersebut dilaporkan telah disiksa di mana kuku miliknya telah diumpil dengan menggunakan jarum tajam.

Tidak dapat melarikan diri ekoran diikat dengan rantai besi dan pengikat kabel, wanita itu juga terpaksa menahan kesakitan apabila tangannya dicucuh rokok.

Wanita itu akhirnya dapat menarik nafas lega apabila diselamatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Pulau Pinang dan JSJ Selangor, Ahad minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kejadian ngeri itu mula terbongkar setelah seorang lelaki membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Selangor.

Lelaki warganegara Indonesia itu mendakwa isterinya yang sedang bercuti di Georgetown, Pulau Pinang telah diculik oleh sekumpulan individu tidak dikenali.

Menurut lelaki itu, isterinya dikurung serta dicederakan di lokasi yang tidak diketahui dan suspek meminta RM540,000 bagi melepaskan mangsa, lapor Buletin TV3.

“Bertindak atas maklumat, mangsa diselamatkan dalam Op Scorpion menerusi serbuan terhadap sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, pada jam 5.10 pagi.

“Turut diselamatkan seorang lagi lelaki yang mendakwa dikurung kerana gagal menjelaskan hutang. Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 27 tahun,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Kok Chin memaklumkan, siasatan lanjut mendapati pengadu iaitu suami mangsa yang bekerja sebagai kontraktor di Malaysia itu rupanya berhutang dengan suspek.

Suspek bagaimanapun masih tidak membebaskan mangsa setelah pengadu menjelaskan bayaran sebanyak RM50,750 menerusi dua transaksi.

Difahamkan, pihak polis juga mendapati terdapat kesan cedera pada badan kedua-dua mangsa yang diculik itu dipercayai akibat didera oleh suspek.

“Terdapat kesan luka pada tangan mangsa dipercayai dicucuh dengan puntung rokok manakala kuku pula diumpil menggunakan jarum selain kaki dan tangan turut diikat menggunakan pengikat kabel serta rantai besi.

“Suspek menggunakan kenderaan yang berlainan bagi membawa mangsa ke Shah Alam supaya pergerakan mereka sukar dikesan.

“Polis masih menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan sindiket along. Hutang perlu dijelaskan, tetapi cara yang dilakukan suspek tidak wajar.” Ujarnya.

Mangsa kini masih dirawat di hospital serta berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Susulan itu, pihak polis telah menahan 14 suspek disyaki terbabit di dalam kes berkenaan pada hari yang sama antara jam 6 pagi hingga 10.30 malam.

Suspek yang ditahan di sekitar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor itu terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita warga tempatan serta dua lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 70 tahun.

Baca juga: “Bukan sebab saya banyak duit”, rupanya ini alasan Neelofa kenapa mahukan CCTV di sekolah Bilal