Pelakon dan usahawan, Abby Abadi, sekali lagi mencuri perhatian warganet apabila berkongsi satu luahan penuh emosi yang ditujukan khas buat anak-anaknya di media sosial.
Menerusi perkongsian tersebut, Abby menzahirkan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah putus, walaupun suatu hari nanti dia dan pasangan tidak lagi mampu menjaga anak-anak seperti hari ini.
“Anak-anak, kalau satu hari nanti Mama, Abah, Papa, Mummy tidak lagi mampu memegang tanganmu sekuat hari ini, ingatlah setiap langkahmu pernah kami doakan,” tulisnya di Threads.
Dalam luahan yang sama, dia turut mengingatkan bahawa kehidupan tidak selalunya indah dan anak-anak pasti akan melalui fasa jatuh, kecewa dan merasa keseorangan.
“Anak-anak, hidup ini tidak selalu indah. Akan ada hari kamu jatuh, kecewa, rasa sendirian. Tapi percayalah, doa kami sentiasa mengiringi.
“Walau kami tidak mampu lindungi kamu setiap masa, kami tidak pernah berhenti meminta Allah menjaga kamu semua,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut turut menyentuh tentang makna ‘rumah’ sebagai tempat kembali, terutama ketika berdepan kesusahan hidup.
“Kalau satu hari nanti kamu rasa dunia ini berat, pulanglah.
“Pelukan kami mungkin tidak mampu menyelesaikan segalanya, tapi cukup untuk buat kamu rasa rumah dan tempat untuk berlindung masih ada,” kongsinya.
Baca juga: Adira Suhaimi kongsi gambar jejaka misteri, peminat menanti dengar khabar gembira