“Kalau pintu kereta tak tutup, jatuh talak” – Baru 4 bulan kahwin, wanita dakwa suami ugut guna taklik

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang wanita meluahkan kekeliruan mengenai status rumah tangganya selepas mendakwa berdepan ugutan talak daripada suami hanya beberapa bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Menerusi satu perkongsian tanpa nama di laman komuniti ‘Permasalahan Kes Di Mahkamah Syariah‘, wanita itu memaklumkan dia dan suami baru berkahwin kira-kira empat bulan.

Kemudian terjadi beberapa insiden yang didakwa memberi tekanan emosi kepadanya.

Menurutnya, suaminya pernah meletakkan taklik berbentuk ugutan, termasuk mendakwa talak akan jatuh sekiranya pintu kereta tidak ditutup dalam tempoh masa tertentu.

“Saya dan suami baru berkahwin lebih kurang empat bulan. Suami ada letakkan taklik secara ugutan, kalau pintu kereta tak tutup dalam masa 10 saat, akan jatuh talak.

“Benda itu memang terjadi. Dia kira sampai 10. Jadi saya sekarang keliru sama ada talak itu dah jatuh atau tidak,” kongsinya.

Wanita berkenaan turut mendakwa dia bertindak melarikan diri kerana panik dan takut sekiranya dicederakan selepas kejadian tersebut.

Tidak lama kemudian, suaminya didakwa menghantar mesej berbaur ugutan, termasuk memberi tempoh masa tertentu sebelum melafazkan talak tiga jika dia tidak pulang.

Menerusi tangkap layar mesej yang dikongsikan, lelaki itu dilihat memberi amaran bahawa hubungan mereka akan berakhir sekiranya isterinya tidak hadir dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kalau 1.30 awak tak ada naik atas, jangan harap lah kita boleh bersama lagi lepas ni. Malam ni akan jadi malam terakhir kita boleh bersama dalam hidup awak.

“10 minit lagi dan awak tahulah talak tiga sahaja senang,” antara kandungan mesej yang dikongsikan.

Bagaimanapun, wanita itu mendakwa suaminya kemudian memaklumkan bahawa talak tersebut tidak pernah dilafazkan secara rasmi.

Disebabkan kekeliruan itu, dia kini mendapatkan pandangan orang ramai bagi memahami sama ada lafaz taklik pertama dianggap sah.

Serta sama ada ugutan menerusi mesej boleh dikira sebagai talak tiga walaupun tidak dilafazkan secara jelas.

Baca juga: Turun menjala tak dapat ikan, sekali jumpa anak lembu tengah sungai – “Kira rezeki ke?”