“Kami terus buat laporan polis”, Pekin Ibrahim belasah kru produksi kerana alasan ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon terkenal, Pekin Ibrahim kembali menyita perhatian ramai setelah membuat satu pendedahan yang mengejutkan baru-baru ini.

Mana tidaknya, selebriti berusia 42 tahun itu mengaku pernah memukul seorang lelaki yang merupakan salah seorang kru atau kakitangan produksi filem lakonannya.

Tampil menceritakan semula pengalaman ‘seram’ yang dihadapinya, pemilik nama penuh Mohd Izhan Ibrahim itu mengaku kejadian tersebut berlaku pada lima tahun lalu.

Berkelakuan tidak senonoh, lelaki berkenaan difahamkan telah dipukul Pekin selepas tertangkap mengintai salah seorang pelakon tambahan di dalam filem tersebut.

Malah menurut Pekin, kru berkenaan sempat berpura-pura seperti ingin mengerjakan solat sewaktu ditangkap ketika melakukan perbuatan yang tidak sononoh itu.

Perkara itu dibongkar Pekin saat menghadiri tayangan perdana filem lakonannya yang diadakan di TGV Aeon AU 2 Keramat, Kuala Lumpur pada malam semalam, lapor Mstar.

“Kejadian ‘seram’ yang berlaku apabila saya menumbuk seorang budak kru kerana mengintai pelakon perempuan lain. Situasi ini lebih seram daripada hantu. Saya bantai budak itu. 

“Yang paling best, bila kantoi dia buat-buat sembahyang. Budak itu mengintai sambil rekod video. Sepanjang saya berlakon, saya tidak pernah pukul orang. 

“Saya tidak boleh tahan dengan kelakuannya yang kurang ajar,” katanya memetik laporan Mstar sebelum membuat keputusan untuk menghubungi pihak berkuasa.

Dedahnya, perbuatan kakitangan produksi itu terbongkar setelah pembantu peribadi Pekin menerima panggilan daripada pelakon yang terlibat untuk mendapatkan bantuan.

Berada di tempat tinggal pelakon wanita itu ketika ditangkap, lelaki terbabit sempat memberikan alasan yang tidak munasabah iaitu hanya mahu menumpang solat.

Sedangkan, produksi filem yang menjalankan penggambaran di Kuala Kangsar dan Lenggong, Perak itu turut menyediakan kediaman untuk pelakon lelaki berehat.

“Apa yang peliknya, budak kru itu datang daripada set penggambaran yang terletak agak jauh dari rumah pelakon wanita itu semata-mata untuk menumpang solat.

“Sedangkan ada sahaja rumah untuk pelakon lelaki. Saya minta telefon bimbitnya namun tidak diberi. Saya perasan dia macam nak padam sesuatu dari telefon itu.

“Memang kena (pukul) dengan sayalah dan kami terus buat laporan polis.” Ceritanya lagi.

Difahamkan, pengintai tersebut telah dikenakan tindakan reman selama tiga hari oleh pihak polis dan tidak dibenarkan masuk semula ke set penggambaran.

Baca juga: Demi makanan percuma, lelaki berpura-pura kena serangan jantung lepas makan, 20 restoran tertipu