Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas tercekik biji buah rambutan di rumahnya semalam.
Mangsa yang ketika itu berada di Felda Neram 1 dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini disahkan meninggal dunia pada pukul 2.50 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, kanak-kanak lelaki itu dikatakan makan rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.
Sewaktu mereka sama-sama menikmati buah tersebut, suara mangsa tiba-tiba tersekat dipercayai akibat biji rambutan dimakannya tersangkut pada bahagian kerongkong.
“Mangsa telah dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, hasil bedah siasat hari ini mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tercekik biji buah rambutan.
Beliau berkata, biji buah itu dijumpai dalam kerongkong kanak-kanak berkenaan.