‘Kasihanilah kami, jenguklah kami di bawah ini’, luah pasangan OKU

Oleh KIM SYAZIE

Walaupun isu negara dan kepimpinan itu perlu, tengok dan jenguklah kami di bawah sama.

Luahan sayu ketua keluarga orang kurang upaya (OKU) tersebut, Feisol Ismail sebaik saja menjejakkan kaki ke kediaman beliau di Rumah Pangsa Ampang Jajar, Permatang Pauh, membuat hati semakin luluh.

Ketika menjejak masuk ke tingkat sembilan rumah pangsa itu, kesedihan mulai terasa. Isterinya Norhaipizah Mat Nayan memerlukan bantuan yang teramat sangat dengan kaki yang semakin membengkak, sedangkan Feisol tidak mempunyai pekerjaan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tatkala ini.

Rumah berlantai simen yang hanya menjadikan tikar getah sebagai pelapik tersebut turut dihuni oleh empat orang lagi anak pasangan OKU tersebut yang berusia 8,10,14 dan 16 tahun.

Feisol yang cacat tangan kanannya sebelum ini membuat kerja-kerja kampung bagi menyara hidup keluarga.

Namun begitu katanya, ekoran PKP yang berterusan beliau kini hilang punca pendapatan sedangkan setiap hari makan dan minum wajib disediakan untuk 4 orang anak dan isterinya yang sakit kencing manis, buah pinggang dan cepat penat sehinggalah kaki membengkak.

“Pendapatan dari JKM sebanyak RM450 dan Zakat Pulau Pinang sebanyak RM400 sebulan. Tapi kos untuk sara hidup sebulan sampai RM1500 sebulan termasuk sewa rumah, bil air dan elektrik serta makan pagi, tengahari dan malam.

“Kami juga sudah mendapat surat dari bahagian perumahan kerajaan negeri Pulau Pinang menuntut bayaran tunggakan sewa rumah yang telah mencecah ribuan ringgit kerana tidak mampu menanggung kos sara hidup setiap bulan.

“Sekiranya tidak dapat membayar sekurang kurangnya RM4000 atau RM5000 kepada bahagian perumahan kami terpaksa keluar dari kediaman ini, sedangkan perbelanjaan kami melebihi pendapatan setiap bulan,” kata beliau sayu.

Oleh kerana itu kata Feisol beliau amat mengharapkan sokongan pekerjaan atau spa saja bagi meneruskan kesinambungan hidup dalam pandemik Covid-19 yang menjadikan mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bagi sesiapa yang ingin membantu keluarga daif ini boleh menghubungi mereka di alamat Blok C-9-49-Rumah Pangsa Ampang Jajar, Permatang Pauh atau menghubungi Feisol dan isterinya di nombor telefon 0195432848 atau 01158426841.