Kecoh dakwaan susu tin dari Malaysia ada tulisan Hebrew, ini penjelasan F&N

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular rakaman memaparkan seorang lelaki warga Palestin yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu menunjukkan satu tin susu dari Malaysia bersama pelekat bertulisan Hebrew atau Ibrani.

Menerusi rakaman dimuat naik di aplikasi TikTok itu, lelaki terbabit mempersoalkan bagaimanakah susu yang turut memiliki logo halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dibawa masuk ke negara haram Israel.

Perkongsian itu telah menimbulkan perbincangan hangat di platform media sosial sebelum syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) tampil memberikan penjelasan selaku pengeluar produk susu tersebut.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook itu, syarikat tersebut menafikan bahawa mereka mempunyai sebarang urusan ataupun hubungan perniagaan dengan negara Israel.

Sebaliknya, produk tenusu berjenama Gold Coin itu telah dieksport secara eksklusif untuk manfaat pasaran Palestin menerusi syarikat Food Collection Co. yang menjalankan operasinya di Bandar Ramallah, Tebing Barat.

“Kami mengambil maklum dengan kebimbangan yang timbul susulan penyebaran sebuah video di media sosial berkenaan penggunaan bahasa pada pembungkusan produk Gold Coin keluaran kami.

“Pada pembungkusannya tertera dengan jelas bahawa produk ini diimport oleh pelanggan kami, Food Collection Co. yang berpusat di Bandar Ramallah, Palestin serta memaparkan teks dalam bahasa Inggeris, Arab dan Ibrani.

“(Ini) selaras dengan syarat tempatan seperti yang diminta pelanggan kami. F&NHB kekal komited dalam menghormati sensitiviti masyarakat tempatan dan sentimen pengguna serta berdiri seiring dengan mereka yang memperjuangkan keamanan dan keadilan,” jelasnya.

Dalam perkongsian sama, syarikat itu turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana telah memaklumkan perkara itu dan menghargai kepercayaan yang berterusan terhadap mereka.

Baca juga: ‘Baik betulkan rumah lama dari sibuk tambah bumbung baru’ – Rafizi perli IPR pembangkang