Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hari ini dalam suasana penuh hormat dan keterbukaan.
Menurut beliau, kehadiran Perdana Menteri bersempena perasmian terminal baharu lapangan terbang itu melambangkan semangat kematangan politik serta pendekatan sejahtera yang menjadi teras pentadbiran negeri Kelantan.
Katanya, pembangunan prasarana tersebut mencerminkan iltizam bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh kemudahan awam, merancakkan ekonomi serta memudahkan pergerakan rakyat.
“Ini adalah hasil sinergi yang dibina atas asas kepercayaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Kelantan mengamalkan pendekatan terbuka dengan mengutamakan kerjasama berbanding perbezaan.
“Kelantan tidak membina tembok, tetapi membuka pintu; tidak meninggi suara, tetapi memperhalus bicara; tidak menjarakkan hubungan, tetapi merapatkan saf demi maslahat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kematangan dalam pentadbiran bukan sekadar retorik, sebaliknya perlu dizahirkan melalui tindakan berhemah, kerjasama jujur serta keutamaan kepada rakyat.
Menurutnya, fokus utama adalah memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara di samping memperkukuh perpaduan antara semua pihak.
Baca juga: Musim haji bermula, kumpulan pertama jemaah berlepas pagi ini