Kenakan bayaran RM3800, syarikat dikecam tawar servis kebumi kucing ‘cara islam’

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah syarikat yang menawarkan servis pengebumian kucing telah menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial baru-baru ini.

Dituduh sebagai penunggang agama, syarikat berkenaan mendakwa akan mengebumikan bangkai-bangkai kucing mengikut ‘syariat Islam’.

Sangat keterlaluan, syarikat berkenaan turut mengenakan bayaran melampau kepada pelanggan yang berminat dengan servis premium tersebut.

Bayangkan, tiga pakej pengebumian kucing cara Islam itu ditawarkan pada harga bermula RM2100 sehingga yang paling mahal iaitu RM3800.

Dengan bayaran itu, bangkai kucing pelanggan akan dikafankan serta dikebumikan pada tapak khas sebelum diletakkan kepok kubur di atasnya.

Malah, syarikat tersebut turut mengadakan upacara pengebumian seperti manusia yang beragama Islam termasuklah servis doa dan sebagainya.

Mengundang amarah, perkara tersebut dibongkarkan oleh seorang pengguna media sosial, Mohammad Faeez Harith menerusi satu hantaran di akaun Twitter.

Faeez berpendapat, servis itu tidak patut ditawarkan kerana haiwan termasuk kucing bukanlah makhluk mukallaf yang perlu dikafankan.

Malah, syarikat yang menjadikan servis ini sebagai punca pendapatan juga perlu mendalami ilmu agama dan menginsafi perbuatan mereka.

“Harap syarikat yang buat benda ini pergilah mengaji balik dan duduk istighfar. Kucing bukanlah makhluk mukallaf sampai kena mandikan.

“(Tak perlu) dikafankan, tahlil atau talqin bagai. Ini dua dalam satu terus, tunggang kucing sekaligus tunggang agama. Parah,” ciapnya.

Menurut hantaran Faeez, syarikat itu turut menyediakan sijil, gambar serta video majlis pengebumian sebagai kenangan untuk simpanan pemilik kucing.

Faeez khuatir sekiranya servis tersebut boleh memperdaya umat Muslim yang kurang berpengetahuan sehingga terjebak dengan perkara-perkara karut.

Tular di media sosial, diharapkan perkongsian itu dapat memberi kesedaran kepada pemilik kucing khususnya bagi mereka yang beragama Islam.

Baca juga: Wanita kantoi bersuami 4, selamba kahwin cerai tanpa disahkan mahkamah