Kenapa biar calon guru CoS 2021 bersidai sepi tanpa sebarang berita?

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendesak Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyegerakan pengumuman keputusan temuduga calon guru kontrak perkhidmatan (CoS) 2021.

Jurucakap Pendidikan DAP tersebut berkata, pemohon Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP DG41) secara CoS yang berkelayakan telah ditemuduga pada 1 hinggaa 14 November 2021.

Menurutnya, calon guru terbabit masih tidak mendapat sebarang khabar berita sama ada berjaya atau sebaliknya walaupun hebahan keputusan temuduga itu patut dibuat pada 27 November 2021.

“Segala syarat telah mereka penuhi, namun khabar masih sirna. Kenapa pengumuman tidak dibuat seperti rancangan supaya calon-calon CoS 2021 boleh merancang dan meneruskan kehidupan masing-masing selepas keputusan bagi ambilan guru CoS 2021 dikeluarkan?

“Kenapa biar calon guru CoS 2021 bersidai sepi tanpa sebarang berita? Adakah layanan sebegini adil dan wajar?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sebanyak 2,400 daripada 18,702 pengambilan guru secara one-off atau sekali pengambilan akan diisi oleh guru CoS yang bakal tamat kontrak Jun ini.

Menurut pemimpin Bersatu itu, tawaran kepada calon yang berjaya dalam pengisian jawatan tersebut akan dibuat oleh SPP sebelum hujung bulan ini.

Mengulas lanjut, Nie Ching menegaskan ramai dalam kalangan calon guru CoS 2021 merupakan profesional dalam bidang masing-masing.

“Jangan dirampas pucuk harapan anak-anak muda ini untuk mengejar cita-cita mendidik anak bangsa.

“Dalam kalangan mereka juga terdapat calon guru yang telah berkhidmat belasan tahun sebagai pendidik di institusi swasta.

“Jangan disia-siakan golongan marhaen yang amat memerlukan kerjaya sebagai pendidik ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada KPM dan SPP supaya menyegerakan pengumuman keputusan temuduga calon guru CoS 2021.

“Usahlah ditunda lagi pengumuman memandangkan banyak sekolah masih menghadapi kekurangan guru.

“Sekolah di bawah Parlimen Kulai masih memerlukan tidak kurang daripada 30 orang guru. Kenapa kekosongan ini tidak boleh diisikan dengan calon guru CoS 2021 dengan segera?” tambahnya lagi.