Kerajaan diskriminasi sekolah tamil, enam sekolah sahaja dapat komputer riba

Oleh KIM SYAZIE

Bekas Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mendakwa kerajaan cuba mendiskriminasi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKC) apabila hanya enam daripada 527 buah sekolah sahaja dipilih untuk menerima bantuan komputer riba percuma.

Ahli Parlimen Kulai itu mengklasifikasikan tindakan kerajaan sebagai ketidakadilan yang besar terhadap masyarakat India dan diskriminasi dalam mengagihkan alat-alat untuk tujuan pendidikan yang tidak sepatutnya berlaku.

Beliau juga mengkritik pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai tidak menggambarkan prinsip Keluarga Malaysia kerana mengabaikan prinsip asas pendidikan

“Kerajaan Ismail Sabri tidak malu mengabaikan prinsip asas pendidikan. Tindakan dan prinsip kerajaan semasa tidak menggambarkan semangat Keluarga Malaysia seperti yang dituntut oleh Perdana Menteri.

“Kepentingan dan keperluan SJKT telah diabaikan dan jauh dari konsep keadilan yang ideal yang sepatutnya dimiliki oleh sebuah keluarga.

“Daripada 150,000 komputer riba yang lambat diagihkan, hanya 406 komputer riba yang diedarkan ke sekolah Tamil Vernakular (SJKT). Ini hanya berjumlah 0.27 peratus daripada jumlah komputer riba yang diedarkan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Teo, jumlah pelajar yang belajar di SJKT adalah sekitar 80,500 pelajar, manakala jumlah populasi pelajar di semua aliran sekolah adalah 4.7 juta pelajar di seluruh negara.

Ini bermaksud, 1.7 peratus pelajar dalam sistem berasal dari SJKT tetapi mereka hanya menerima 0.27 peratus komputer riba yang diedarkan.

Pada masa sama beliau berkata, selama ini, masyarakat India secara ekonominya kurang bernasib baik dan sebahagian besar pelajar India B40 belajar di SJKT.

Justeru katanya, segmen masyarakat minoriti India adalah segmen masyarakat yang berhak mendapat lebih banyak bantuan daripada kerajaan dan ini adalah fakta yang terbukti dari semua statistik yang dikemukakan oleh kerajaan itu sendiri.

“Saya juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah mengurangkan elaun penyelenggaraan khas untuk SJKT kepada RM28.9 juta pada tahun 2021 berbanding RM50 juta standard yang telah diedarkan kepada masyarakat India selama bertahun-tahun.

“Saya meminta Menteri Pendidikan memperbaiki keadaan ini dengan segera. Orang Malaysia yang sejati akan memperjuangkan Melayu, Cina dan India. “Ahli Keluarga Malaysia” yang sejati akan berusaha untuk melayani semua kaum,” katanya lagi.