Kereta GR Yaris ‘total lost’ bukan milik Pekin? Pemilik sebenar tunjuk bukti dakwa Pekin cuma duta

Oleh KIM SYAZIE

Kenderaan jenis GR Yaris Kansai yang dilaporkan rosak keseluruhannya (total lost) dalam satu kemalangan jalan raya, rupa-rupanya bukan milik pelakon Pekin Ibrahim.

Perkara itu didedahkan sendiri seorang individu yang mendakwa dia adalah pemilik sebenar kereta tersebut.

Menurut individu terbabit, Asnina Muhammad, Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim hanya bertindak selaku duta yang mempromosi syarikat D One Motorsports Sdn. Bhd.

“Saya adalah pengarah syarikat D One Motorsports dan merupakan pemilik kenderaan itu.

“Tiada sebarang pembayaran wang tempahan dan juga tiada sebarang pembayaran deposit daripada Pekin.

“Tiada sebarang dokumen yang diberikan olehnya untuk urusan pinjaman bank bagi pembelian kereta,” kata Asnina dalam satu kenyataan rasmi di Instagram.

Kata Asnina lagi, Pekin hanya menunjukkan minat untuk membeli kenderaan itu sahaja.

“Segala kos daripada proses pembelian kenderaan, servis di Kansai Service dan pembiayaan duta ke Jepun ditanggung oleh pihak kami,” katanya lagi.

Menerusi kenyataan terbabit, Asnina turut menyertakan geran kenderaan sebagai bukti kereta tersebut adalah miliknya.

Terdahulu, kereta dipandu oleh rakan Pekin bernama Amirul dan turut dinaiki oleh dua rakan dikenali sebagai abang Arif dan Faiz terlibat dalam kemalangan.

Media difahamkan, kereta terbabit yang dibuat khas untuk Pekin telah mendapat sentuhan istimewa oleh pemilik Kansai Service di Jepun dan baru sahaja tiba di Malaysia seminggu yang lalu.

Baca juga: Bahana bagi kawan ‘test-drive’, kereta GR Yaris Kansai milik Pekin Ibrahim jahanam – “Baru seminggu sampai Malaysia”