“Kerja macam kami ni orang akan pandang hina” – Pemuda tunjuk bukti gaji cecah 5 angka

Oleh KIM SYAZIE

Tidak kiralah apa pekerjaan anda sekalipun asalkan ia halal maka tiada istilah kerja mana yang hina dan mana dipandang tinggi masyarakat.

Hanya kerana bekerja sebagai kru pembersihan, Muhammad Shahrul Ezzaiky sering dipandang hina hingga dia merasa segan untuk berkongsi pengalamannya.

Namun kini dia lebih selesa berkongsi pengalaman di TikTok selepas berjaya mendapat pekerjaan di negara jiran, Singapura.

Apatah lagi gajinya apabila ditukar ke mata wang ringgit Malaysia telah mencecah lima angka.

Lebih mesra dipanggil Mamat, dia sendiri tidak menyangka akan terlibat dalam bidang pembersihan.

‘Saya pernah berkerja jadi anggota bomba bantuan semasa di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor sebelum membuat keputusan bekerja di Syarikat pembersihan dekat Singapura bermula bulan November 2019.

“Saya masuk ke Singapura melalui rakan namun rakan tersebut telah pulang ke Malaysia kerana tidak dapat menahan semasa pandemik covid menyebabkan saya tinggal keseorangan di Singapura pada waktu itu.

“Pada awalnya saya sedang bekerja di syarikat lain namun gajinya agak rendah untuk menampung kos hidup saya di Singapura semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kebetulan pula, syarikat abang saya bekerja sedang ada kekosongan jadi saya cubalah untuk mohon dan alhamdulilah ada rezeki saya diterima,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tidak hanya itu, dia juga berkongsi bagaimana dirinya adalah pelajar nakal hingga pernah dibuang sekolah menjadi penyebab untuk dirinya kuat bekerja di Kota Singa itu.

“Ada aje yang kecam saya selepas saya membuat perkongsian kisah kerja saya di Tiktok, tapi mulut orang ni kita tak boleh tutup.

“Saya buat tak tahu ajelah, sampai bila nak rasa malu dan sembunyikan kerja kita, lama-lama orang akan tahu juga.

“Impian saya hanya satu, nak menggembirakan mak ayah, setiap kali dapat gaji saya akan dahulukan mereka,” tambahnya.

Setiap pekerjaan di dunia membawa kepentingan dalam kitaran hidup manusia ini, jadi jangan memandang hina pekerjaan seseorang.

Baca juga: ‘Sekarang pun sudah separuh gila, jika saya dilantik MB sudah tentu orang itu…’