Bimbang anak masuk penjara, SRK didakwa sogok RM13 Juta kepada pegawai Narkotik

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama pelakon lagenda Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) kembali menjadi sebutan setelah terpalit dengan kes rasuah melibatkan pegawai kerajaan.

SRK didakwa merasuah pegawai Biro Kawalan Narkotik (NCB) India untuk menggugurkan pertuduhan kes dadah melibatkan anaknya, Aryan Khan.

SRK dikatakan menawarkan wang berjumlah 200 juta rupee (kira-kira RM13 juta), kepada pegawai NCB, Sameer Wankhede, lapor Sinar Harian.

Minggu lalu, beberapa orang pegawai dari Biro Penyiasat Pusat India (CBI) membuat satu serbuan di rumah Wankhede berhubung kes berkenaan.

Menafikan dakwaan tersebut, Wankhede berkata dirinya kini sebenarnya sedang diuji kerana rasa cintanya terhadap negara.

“Saya mendapat ‘ganjaran’ kerana menjadi seorang patriot. Seramai 18 orang pegawai CBI datang menyerbu kediaman saya.

“Mereka menggeledahnya selama lebih 12 jam manakala isteri dan anak-anak saya sedang berada di dalam rumah pada waktu itu,” katanya.

Terdahulu, Aryan ditahan bersama tujuh orang rakan lain termasuk dua wanita di sebuah kapal pelayaran mewah di pantai Mumbai pada Oktober 2021 lalu.

Menghabiskan masa selama hampir tiga minggu di dalam penjara, Aryan didakwa terlibat di dalam kes penyalahgunaan dadah.

Aryan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sebelum kes terhadapnya digugurkan kerana kekurangan bukti.

Baca juga: Dua kali menduda, hati Esma Daniel kini dimiliki gadis 24 tahun lebih muda