Dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) ditahan pihak polis susulan penemuan jasad seorang lelaki yang meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang di Muallim, Tanjong Malim, semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari, penahanan dua individu berusia 40-an itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk).
Laporan tersebut adalah berkaitan kesalahan memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit membabitkan sempadan Perak yang mana kumpulan pendaki didapati turun daripada gunung di sebelah Muallim.
Sedangkan kumpulan dibimbing oleh dua malim gunung itu hanya memperoleh permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana memulakan pendakian di kawasan Bentong, lapor Harian Metro.
“Kumpulan pendaki ini naik daripada sebelah Pahang di Bentong namun mereka turun di sebelah Perak di daerah Muallim. Jadi tangkapan terhadap dua malim gunung ini kerana mereka ada permit memasuki hutan simpan semasa di kawasan Pahang.
“Namun sebaliknya mereka turun dan memasuki kawasan hutan simpan di Perak iaitu sebelah Muallim. Jadi mereka memasuki kawasan hutan simpan di Perak tanpa permit.
“Tangkapan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas kesalahan memasuki atau berada di kawasan hutan simpan tanpa permit atau kelulusan yang sah,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Namun menurut Mohammad Azlin, dua malim gunung terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis yang mana siasatan dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
Terdahulu, Allahyarham Mustaqqeem Mansoor dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang di Perak.
Mangsa dikatakan kali terakhir dilihat pada sekitar jam 10.30 malam, 14 Oktober lalu bersama seorang individu ketika berada di Puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 22 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dibuat untuk mencari mangsa yang dilaporkan hilang sejak dua hari sebelumnya.
Mustaqqeem Mansoor yang berusia 34 tahun serta beralamat di Sungai Petani, Kedah itu kemudian ditemui meninggal dunia kira-kira pada jam 3.30 petang semalam di puncak Gunung Liang Barat, Muallim.
Baca juga: Ditikam 200 kali, ibu dedah mangsa tak kenal suspek, minta henti sebar cerita palsu