Usahawan Khairul Aming, tampil memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik tangkap layar (screenshot) tempahan restoran atau slot janji temu di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, dia menasihatkan pengguna supaya menutup (censor) semua maklumat sensitif seperti nama, tarikh dan masa tempahan di Rembayung sebelum berkongsi secara terbuka.
Menurutnya, tindakan memaparkan butiran penuh tempahan boleh membuka ruang kepada penipuan, apabila scammer berpotensi menjual semula tempahan tersebut kepada individu lain menggunakan tangkap layar berkenaan.
“Mohon jangan upload screenshot booking anda yang nampak nama, tarikh dan masa. Please censor semua details.
“Saya risau ada scammer jual reservation anda kepada orang lain menggunakan screenshot tersebut,” katanya di Threads.
Dalam hantaran sama, Khairul Aming turut memberi amaran mengenai komen mencurigakan daripada akaun yang menawarkan bantuan melalui mesej peribadi.
Dia menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu yang sering menulis “PM I sis” di ruangan komen, terutama pada hantaran yang bertanyakan tentang kekosongan slot tempahan.
“Tolong jangan percaya dengan orang yang komen ‘pm I sis’ dekat setiap posting yang tanya ‘siapa ada slot Rembayung?’.
“Tinggi keberangkalian itu adalah scammer,” tegasnya.
Dia turut menyeru pengguna saling menjaga keselamatan digital masing-masing.
“Mari kita tolong satu sama lain, terima kasih semua,” ujarnya.
Perkongsian itu mendapat sokongan ramai warganet yang bersetuju bahawa langkah berjaga-jaga penting bagi mengelakkan penipuan dalam talian.
Baca juga: Trend peniaga kecil-kecilan guna nama infaq untuk habiskan jualan